BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Salam,


Bapa mertua saya meninggal dunia awal tahun lepas. Dia ada meninggalkan sejumlah wang untuk diinfak (dia ada memberitahu hal ini kepada kami sebelum dia meninggal). Jadi kami memang dalam proses menginfakkan wangnya tu antaranya kami infakkan ke masjid, rumah anak yatim dan sebagainya. 
Soalan saya ialah bolehkah kami gunakan wang tersebut untuk tujuan perubatan, pendidikan & segala yg bermanfaat untuk kami ahli keluarga dia sendiri (anak-anak & cucu-cucunya) sebab saya ada mendengar infak yg terbaik ialah mendahulukan ahli keluarga sendiri dahulu. Untuk pengetahuan pihak ustaz, kami keluarganya adalah berkemampuan (bukan golongan susah).
Atau kami sebagai ahli keluarga tidak boleh langsung menggunakan wang tersebut kerana ianya hanya boleh diinfak kepada orang luar sahaja.
Pencerahan ustaz saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Wasiat merupakan satu pengakuan yang dibuat oleh seseorang semasa hayatnya berkenaan harta atau manfaat miliknya, untuk disalurkan kepada sesuatu tujuan kebajikan atau sebarang tujuan lain yang dibenarkan oleh hukum syarak, selepas kematiannya. Wasiat ini dianggap sah menurut syarak sama ada ia dinyatakan secara jelas menggunakan lafaz “wasiat” ataupun tidak.

Berdasarkan takrif ini, jika seseorang telah memberikan arahan semasa hayatnya supaya sebahagian hartanya diinfakkan selepas kematiannya, maka arahan tersebut tergolong dalam kategori wasiat dan hukum wasiat adalah terpakai ke atasnya.

Menurut hukum syarak, seseorang hanya dibenarkan mewasiatkan maksimum satu pertiga (1/3) daripada jumlah keseluruhan hartanya kepada bukan waris. Sekiranya wasiat melebihi satu pertiga, ia hanya boleh dilaksanakan dengan persetujuan semua waris yang sah.

Hadis Rasulullah SAW:

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ فلا وصيَّةَ لوارثٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah memberikan hak kepada setiap orang yang berhak, maka tiada wasiat kepada waris. (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi, Ibn Majah)

Merujuk kepada persoalan yang dibangkitkan, sekiranya seseorang telah menetapkan secara khusus semasa hayatnya bahawa sejumlah wang atau harta tertentu hendaklah diinfakkan sama ada dalam bentuk sedekah atau sumbangan umum maka harta tersebut dianggap telah ditentukan tujuannya oleh si mati. Oleh itu, ia termasuk dalam kategori wasiat dan wajib ditunaikan sebagaimana yang diniatkan. Waris berkewajipan melaksanakan amanah ini selaras dengan niat dan arahan si mati. Maka, penggunaan harta tersebut oleh ahli keluarga bagi kepentingan peribadi adalah tidak dibenarkan, kecuali jika perkara itu termasuk dalam maksud "infak" yang dimaksudkan oleh si mati. Dalam hal ini, penjelasan yang jelas tentang niat si mati sebelum kematiannya adalah amat penting.

Berhubung dengan konsep infak, penggunaannya adalah tertakluk kepada niat asal pemberi. Sekiranya si mati telah mensyaratkan supaya infak tersebut diberikan kepada golongan tertentu seperti fakir miskin, masjid, anak yatim atau seumpamanya, maka harta tersebut wajib disalurkan kepada pihak yang telah ditentukan itu sahaja. Namun, sekiranya lafaz atau arahan yang diberikan adalah bersifat umum tanpa menetapkan kepada siapa infak itu harus diberikan, maka ia boleh disalurkan kepada mana-mana pihak yang memerlukan, termasuk ahli keluarga sendiri selagi mana ia menepati tujuan kebajikan yang dibenarkan syarak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 93

message user image