Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamaualaikum ustaz.
Saya merupakan seorang kerani di jabatan kerajaan. Rakan saya telah membantu saya menjawab soalan PSEE (Psikometrik SPA) bagi pihak saya dan telah lulus exam tersebut. Saya berbuat demikian kerana telah banyak kali menjawab soalan psikometrik tetapi tidak berjaya untuk jawatan tersebut. Saya telah lulus KPSL pada tahun 2015 dan ada kelayakan diploma dan ijazah juga tetapi tidak pandai jawab peperiksaan psikometrik itu. Saya telah menghadiri temuduga baru-baru ini, sekiranya ada rezeki saya lulus temuduga, bolehkah saya menerima jawatan tersebut?
Terima kasih atas perhatian dan jawapan ustaz.
Jawapan
Dalam Islam, perbuatan membenarkan orang lain menjawab peperiksaan bagi pihak kita adalah tidak dibenarkan kerana ia termasuk dalam penipuan, dan termasuk mengambil sesuatu yang bukan haknya. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya:Barang siapa yang menipu, maka dia bukan daripada golongan kami. (Riwayat Tirmizi).
Secara asasnya, jawatan yang diperoleh melalui kelayakan sebenar seperti sijil yang sah, pengalaman kerja yang diiktiraf, dan kejayaan dalam temuduga adalah dianggap sah dari sudut syarak dan undang-undang. Ia mencerminkan usaha dan kejujuran individu dalam mendapatkan rezeki secara halal dan bermaruah.
Namun begitu, sekiranya seseorang memperoleh kelulusan atau keputusan peperiksaan melalui penipuan, seperti membenarkan orang lain menjawab bagi pihaknya, kemudian menggunakan keputusan tersebut untuk tujuan kenaikan pangkat atau gaji, maka ia adalah perbuatan tidak jujur yang menjejaskan keberkatan rezeki yang diterima.
Secara umumnya gaji anda adalah dari hasil pekerjaan yang halal dan sah, namun sekiranya anda menerima tawaran kenaikan pangkat tersebut maka pertambahan gaji daripada perbuatan menipu itu dibimbangi menghilangkan keberkatan rezeki secara keseluruhan. Sebaiknya anda tidak menerima kenaikan pangkat yang ditawarkan kerana ia melibatkan hasil perbuatan yang bertentangan dengan syarak iaitu menipu.
Sekian, terima kasih.