Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya mempunyai persoalan. Saya ada beberapa orang kenalan yang mencari rezeki dengan menjual patung (Soft Toys). Kebiasaannya mereka dapatkan bekalan Soft toys untuk dijual ini daripada guni atau mereka beli daripada kedai barangan terpakai seperti Jalan Jalan Japan (JJJ). Dan kadang kala mereka dapatkan Soft Toy itu dengan harga yang murah, kemudian mereka jual dengan harga berlipat kali ganda. Dalam dunia bundle, perkara ini dikenali sebagai 'item jackpot' (barang yang memberi keuntungan kepada penjual).
Persoalan saya, jika mereka membeli item 'A' itu dengan harga yang murah, RM15 contohnya. Kemudian, mereka jual semula item 'A' itu dengan harga ratusan ringgit (mengikut harga pasaran) atau melalui bidaan, apakah hukumnya? Adakah ini dibolehkan atau dikira sebagai Riba'? Dan apakah hukum pembeli yang membeli item 'A' tersebut? Itu sahaja persoalan saya, harap dapat dijelaskan.
Terima kasih.
Jawapan
Agama Islam menghalalkan jual beli dan menggalakkan perniagaan supaya umat Islam dapat memakmurkan dunia serta mampu menjana kekuatan ekonomi mereka. Di samping itu, ia menjauhkan diri daripada makan harta secara haram atau memiliki barang secara batil. Bagi seorang peniaga yang bertaqwa pastinya akan memikirkan ruang-ruang kebajikan yang terdapat dalam lapangan ini dan bukan hanya memikirkan jumlah keuntungan dan pencapaian target peribadi semata-mata. Begitu juga dalam hal ini, meletakkan harga barang yang berlipat kali ganda terhadap barangan keperluan harian pengguna sehingga membebankan dan menafikan hak mereka untuk mendapatkan keperluan untuk keluarga juga merupakan kesalahan dan tiada peri kemanusiaan.
Merujuk pada persoalan saudara, menjual barang yang dibeli dengan harga murah (seperti soft toys dari bundle) kemudian dijual semula dengan harga lebih tinggi bukanlah riba dan adalah dibolehkan dalam Islam, dengan syarat yang wajar dipenuhi.
Dalam Islam, tiada had khusus ditetapkan untuk keuntungan. Jika seseorang membeli barang dengan harga RM15 dan menjualnya semula dengan harga RM300 kerana barang itu rare, cantik, atau dikehendaki ramai, itu tetap dibolehkan.
Sepertimana yang sedia maklum bahawa syarat-syarat sah jual beli adalah milikan yang sempurna oleh penjual, tiada unsur paksaan kepada pembeli dan maklumat barangan yang dipersetujui antara penjual dan pembeli.
Untuk itu, adalah diharuskan menjual semula barangan bundle atau soft toys pada kadar harga lyang lebih tinggi, walaupun keuntungan berlipat kali ganda, selagimana tidak berlaku manipulasi harga, penipuan dan memenuhi syarat sah jual beli.