Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz/ustazah. Saya ingin bertanyakan dua soalan:
1) Saya sering mengalami lintasan hati atau bayangan berkenaan akidah (contoh tanda salib, kuil), bagaimana hukumnya? Kerana saya risau akan merosakkan akidah saya
2) Lintasan hati/bayangan itu kerap berlaku semasa saya hendak menunaikan solat. Terutamanya ketika hendak mengangkat takbiratul ihram sehingga saya terpaksa berniat solat berulang kali dan menjadi was-was. Jika lintasan itu berlaku pada waktu saya memulakan niat (niat solat) yang pertama, adakah saya perlu berniat semula (untuk kali kedua,ketiga dan seterusnya). Saya merasa sukar untuk menepis bayangan tersebut walaupun sudah cuba berzikir dan membaca doa memohon perlindungan.
Mohon penjelasan dan pencerahan dari pihak mufti. Terima kasih.
Jawapan
SOALAN 1:
Dalam hal ini, jika was-was itu berpunca daripada lintasan hati atau bisikan-bisikan syaitan yang mengganggu, maka ia tidaklah membatalkan iman selagimana ia tidak mempengaruhi iman seseorang. Abi Hurairah r.a, Rasulullah SAW pernah bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwas-waskan dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwas-waskan) (Riwayat al-Bukhari)
SOALAN 2:
Keyakinan adalah perkara utama dalam penghayatan ibadah, namun sekiranya ia berlaku dengan kerap dan berulang khususnya dalam ibadah pastinya ia adalah gangguan syaitan yang ingin menyesatkan manusia. Sebagaiman firman Allah SWT dalam surah al-Nas ayat 5:
Maksudnya: Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia
Jika was-was berlaku dalam solat, hadis yang diriwayatkan oleh Abi Sa'id al-Khudri ra, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Jika salah seorang daripada kalian berasa syak dalam solatnya, dan dia tidak ingat berapa rakaat telah dia solat; tiga atau empat rakaat. Maka buanglah syak itu dan tetapkan diri atas apa yang dia yakini, kemudian dia sujud (sahwi) sebanyak dua rakaat sebelum (mengucapkan) salam, kerana jika dia solat sebanyak lima rakaat maka akan genap sempurnalah bagi dia solatnya, dan jika nyata dia solat empat rakaat, maka jadila dua sujud (sahwi) itu suatu penghinaan bagi syaitan. (Riwayat Muslim)
Tinggalkan, abaikan perasaan dan teruskan solat dengan keadaan keyakinan bahawa gangguan itu adalah hasutan syaitan untuk mengganggu solat yang sebenarnya tiada apa unsur-unsur yang membatalkan solat. Sentiasalah berdoakepada Allah SWT sebagaimana yang diajar oleh Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 97-98:
Maksudnya: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku"."Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.
Juga doa yang biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW sepert yang diriwayatkan oleh Saidina Aisyah r.a:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَطَاعَتِكَ
Maksudnya: Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu. (riwayat Imam Ahmad)
Sekian, terima kasih