Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan Mufti, apakah hukum seseorang yang ingin lulus ujian memandu dengan menggunakan "kabel" atau orang dalam untuk memastikan dia lulus? Namun apabila ditanya, dia menjawab bahawa dia menjalani ujian dengan baik dan tidak pasti sama ada dia lulus kerana usahanya sendiri atau kerana bantuan orang dalam. Soalan saya ialah, apakah hukum dalam keadaan yang tidak pasti seperti ini? Adakah dia perlu membatalkan lesen memandunya dan mengambil semula ujian? Dan bagaimana pula jika seseorang itu pasti bahawa dia lulus kerana bantuan orang dalam, tanpa layak secara sebenar? Adakah dia wajib membatalkan lesen tersebut dan membuat lesen baharu secara sah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, hukum menggunakan “kabel” atau orang dalam untuk meluluskan ujian memandu adalah haram kerana ia termasuk dalam kategori penipuan dan termasuk dalam kategori rasuah yang dilarang di dalam Islam, ancaman melakukan rasuah ini amatlah berat sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah. (Riwayat Ahmad)
Oleh itu, sekiranya seseorang itu tidak pasti sama ada kelulusannya diperoleh hasil usahanya sendiri yang sememangnya layak atau kerana bantuan orang dalam, maka tidaklah wajib membatalkan lesen memandu tersebut kerana hukum asal berpandukan kepada zahir ujian yang telah dilaluinya. Namun begitu, dia hendaklah bertaubat serta menggunakan lesen tersebut dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
Adapun jika dia meyakini bahawa kelulusan itu hanya dicapai melalui bantuan orang dalam tanpa kelayakan sebenar, maka lesen tersebut dianggap hasil daripada penipuan yang diharamkan. Dalam keadaan ini, dia wajib bertaubat dengan sebenar-benarnya serta memperbaharui lesen secara sah, demi menjaga keselamatan diri dan orang lain.
Kesimpulannya, menggunakan orang dalam bagi memastikan kelulusan ujian memandu adalah perbuatan yang haram. Jika seseorang berada dalam keadaan ragu-ragu, maka memadai dengan bertaubat serta lebih berhati-hati dimasa akan datang. Namun, jika dia yakin lulus melalui jalan yang batil, maka wajib baginya memperbetulkan keadaan dengan mengambil semula ujian dan mendapatkan lesen baharu secara sah.
Sekian, terima kasih.