Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Bismillah dan Assalamuailaikum,
Saya ingin bertanya, apakah amalan islam yang wajar dilakukan ketika berhadapan dengan binatang peliharaan yang tengah nazak dan akan menghembuskan nafas terakhirnya sama ada secara semula jadi di rumah atau di klinik melakukan euthanasia di klinik ?
Apakah dibolehkan mengucap pada binatang tersebut atau doa doa yang boleh dibaca menemani haiwan tersebut menerima ajal.
Harap pihak mufti boleh beri pencerahan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan diajukan
1. Tidak ada zikir atau doa khas dibacakan kepada binatang yang menghadapi kematian. Namun, penjaga boleh berzikir dan berdoa kepada Allah untuk ketenangan hati dan kesabaran.
Hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah RA,Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu musibah, lalu dia mengucapkan: "Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada-Nya. Ya Allah, ganjarilah aku pahala akibat musibah ini dan berikanlah pengganti yang lebih baik untukku," melainkan Allah akan (memberinya pahala atas musibahnya dan) menggantikan yang lebih baik baginya.
3. Islam menetapkan prinsip ihsan pada semua perkara, termasuk terhadap haiwan. Hukum asal euthanasia adalah haram kerana dianggap satu kezaliman terhadap makhluk yang bernyawa yang dilarang. Jika masih boleh dirawat dan dijaga, maka hendaklah merawatnya. Namun, mengambil kira keadaan haiwan di mana membiarkan haiwan yang kritikal lebih membawa kepada kesakitan dan kezaliman berbanding melakukan euthanasia terhadapnya, maka dibolehkan. Hal ini mengikut kaedah fiqh
Maksudnya: Mengambil (memilih) mudarat yang lebih ringan di antara dua kemudaratan.
Dalam sesetengah kes, membiarkan haiwan yang sedang dalam kritikal tanpa dibunuh adalah lebih menyeksakan haiwan tersebut berbanding dengan melakukan euthanasia terhadapnya. Apatah lagi jika ia penjagaan dan rawatarn terhadapnya memerlukan kos yang amat tinggi. Dalam kes seperti ini, pandangan yang mengharuskan euthanasia terhadap haiwan yang sedang nazak atau kritikal boleh diguna pakai berdasarkan pertimbangan bahawa kemudaratan membiarkannya hidup lebih besar daripada kemudaratan melakukan euthanasia.
Sekian, terima kasih.