Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbkt,
Saya ingin bertanya berkenaan pengurusan janin bayi dari seorang pesakit yang mengalami keguguran pada usia kandungan 18 minggu. Beliau mengalami missed abortion iaitu ketuka janin berusia 18 minggu dan menunggu sehingga berlakunya tanda-tanda keguguran dan seterusnya menjalani prosedur D&C (mencuci rahim) lebih kurang seminggu dari tarikh pengesahan missed abortion. Semasa kelahiran tiada tanda-tanda hidup pada janin tersebut dan janin mempunyai berat 60 gram sahaja. Memandangkan ianya adalah keguguran dan bukan kelahiran (definisi kelahiran menurut KKM adalah ketika mana usia kandungan bersamaan atau melebihi 22 minggu atau berat janin bersamaan atau lebih 500 gram) maka hanya surat iringan pemberitahuan keguguran disertakan semasa pesakit dibenarkan pulang.
Persoalannya saya, adakah pihak hospital wajib mengeluarkan permit mengubur? ini adalah kerana mengikut amalan biasa di mana-mana jua hospital di Malaysia, permit mengubur biasanya dikeluarkan untuk kes-kes kelahiran spt definisi di atas. Saya mohon penjelasan dari pihak Tuan.
Terima kasih
Jawapan
Berdasarkan kepada soalan puan, pengurusan janin yang gugur adalah seperti berikut:
1. Jika janin yang gugur itu berusia 6 bulan dan ke atas, walaupun ia lahir atau gugur dalam keadaan ia telah meninggal dunia, maka wajib ia wajib diuruskan seperti kematian orang dewasa, iaitu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan.
2. Jika janin yang gugur itu berusia kurang dari 6 bulan, ketika ia lahir diketahui hayatnya, seperti keluar suara, menangis, lalu meninggal dunia, maka hukumnya sama seperti orang dewasa. Ia wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan, dan dikebumikan.
Sebagaimana hadis daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Rusulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Jika bayi yang gugur bersuara atau menangis (ketika gugurnya), hendaklah disolatkan ke atasnya dan ia berhak mewarisi. (Riwayat Ibnu Majah)
3. Begitu juga sekiranya janin yang gugur itu bergerak-gerak, atau menggigil, yang menunjukkan tanda hidup, tetapi tidak mengeluarkan suara, maka diambil kira kemungkinan wujudnya kehidupan. Maka janin itu hendaklah dimandikan, disolat, dikafankan dan dikebumikan, atas dasar berhati-hati.
4. Jika janin yang gugur tidak menunjukkan tanda-tanda hidup, maka hendaklah dilihat; jika telah kelihatan bentuk lembaga manusia (biasanya apabila janin telah berusia empat bulan atau lebih dalam kandungan), hendaklah dimandikan, dikafankan dan dikebumikan, TANPA perlu disolatkan.
5. Jika janin belum kelihatan bentuk lembaga manusia (biasanya apabila janin belum berusia empat bulan), maka memadai membasuhnya sahaja (untuk membersihkan dari darah), kemudian dibungkus dengan kain atau sebagainya dan ditanam. Tidak perlu dimandikan atau disolatkan.
Justeru, pihak hospital perlu meneliti setiap kes mengikut 5 perkara yang dinyatakan di atas sama ada terdapat keperluan atau tidak untuk mengeluarkan permit mengubur.
Sekian, terima kasih.