BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya nak tanya sy seorang doktor yang bekerja di makmal perubatan yang menerima sampel2 dari bilik bedah untuk dibuat diagnosis. Antara sampel yang selalu terima ada lah sampel 'mastectomy' iaitu organ payudara yang dibuang dari pesakit kanser untuk menghalang kansernya dari terus merebak. Soalan saya apakah hukum aurat bagi payudara tersebut, contohnya jika saya menayang pada umum organ tersebut (untuk tujuan kesedaran dan pembelajaran) tanpa umum mengetahui milik siapa organ yg terpisah tersebut adakah berdosa ?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Aurat merupakan bahagian anggota badan yang wajib ditutup dan disembunyikan daripada dilihat oleh orang yang bukan mahram. Dalam isu ini, para fuqaha berselisih pandangan pada hukum aurat yang terpisah daripada tubuh badan.

1. Aurat yang terpisah daripada tubuh badan tetap dianggap sebagai aurat. Pandangan ini daripada ulama mazhab al-Shafi’i. Disebutkan dalam I’anah al-Tolibin:

“Dan setiap anggota yang haram dilihat ketika bersambung (dengan badan) juga haram dilihat apabila terpisah daripadanya, seperti potongan kuku tangan atau kaki, rambut perempuan, dan bulu ari-ari lelaki. Maka wajib menutup anggota-anggota tersebut.”

2. Aurat yang telah terpisah daripada tubuh badan tidak lagi dikira aurat, bermaksud tidak berdosa jika dilihat oleh orang bukan mahram. Ini merupakan pandangan daripada ulama mazhab Hambali. Disebutkan oleh Imam Abdul Qadir al-Syaibani:

“Adapun rambut wanita ajnabi (bukan mahram) yang telah terpisah (daripada tubuhnya), maka harus disentuh dan dilihat, sekalipun ia berasal dari kawasan aurat, kerana hukum pengharamannya telah hilang disebabkan pemisahan itu.”     (Rujuk Nail al-Maarib bi Syarh Dalil al-Tolib)

Kesimpulannya, aurat yang terpisah daripada tubuh tetap dianggap aurat menurut pandangan mazhab al-Shafi‘i. Walau bagaimanapun, dalam keadaan sangat berhajat dan sangat berkeperluan seperti tujuan pembelajaran atau rawatan, kelonggaran boleh diambil berdasarkan pandangan mazhab Hanbali. Justeru, sampel seperti tisu sample (mastectomy) hendaklah digunakan hanya sekadar keperluan yang mendesak, dengan penuh kawalan serta pemeliharaan adab syarak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih

 

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 52

message user image