Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan mufti
Saya ada beberapa soalan;
1. Hukum bermain video game.
2. Video game bagaimanakah tidak dibenarkan dimainkan oleh seorang Muslim?/ Haram hukum bermain game tersebut
3. Apakah hukum mengunakan rakaman video game (seperti game bola sepak fc mobile, efootball , game kereta & motor ) kemudian meletakkan "background audio" lagu-lagu islamik seperti nasyid atau rakaman suara ceramah agama?
4. Adakah (soalan no.3) dikira salah 1 jalan dakwah? Atau lebih baik menghasilkan/ menggunakan video background jenis yang lain.
5. Jika menggunakan audio ceramah daripada channel rasmi seperti syarikat television atau media mahupun channel orang persendirian, adakah diwajibkan meminta kebenaran terlebih dahulu sebelum menggunakannya.
Ter
ima kasih.
Jawapan
Merujuk persoalan yang diajukan, hukum asal bagi bermain video game adalah harus. Walaupun begitu, bagi permainan yang mempunyai unsur syirik seperti unsur sihir, dewa dan lain-lain unsur syirik adalah dilarang. Hal ini bertepatan dengan kaedah "sesuatu yang boleh membawa kepada haram maka ia adalah haram".
Manakala menggunakan rakaman video game tersebut dengan berlatar belakangkan lagu atau nasyid berirama islamik untuk tujuan hukumnya harus selagi tidak membawa imej buruk kepada Islam.
Usaha berdakwah dengan menggunakan medium yang disebutkan di atas merupakan satu usaha yang baik, namun ia perlu mengambilkira perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum hakam dan juga soal perundangan seperti penggunaan video milik orang lain yang dikategorikan sebagai hak cipta terpelihara, oleh itu sebarang penggunaan petikan ceramah yang terbukti ia adalah milik seseorang maka ia perlu mendapat keizinan daripada pemiliknya.
Sekian, terima kasih.