BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya nak bertanya, bolehkan seorang Muslim memakan makanan yang dijadikan bahan sembahan untuk perayaan Hantu Lapar yang disambut oleh masyarakat Buddha? Makanan dan minuman tersebut halal disisi syarak, walaubagaimanapun, makanan/minuman itu dijadikan sebagai sembahan untuk perayaan tersebut dan setelah upacara sembahyang selesai, makanan itu dijamu kepada orang termasuk muslim.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 168:


يٰٓاَيُّهَا النَّاسُ كُلُوْا مِمَّا فِى الْاَرْضِ حَلٰلًا طَيِّبًا وَّلَا تَتَّبِعُوْا خُطُوٰتِ الشَّيْطٰنِ اِنَّهٗ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِيْنٌ


Maksud: Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.

Merujuk kepada persoalan tuan, sekiranya makanan yang dijadikan sebagai bahan sembahan/ pemujaan adalah dalam bentuk haiwan sembelihan, seperti lembu atau haiwan sembelihan lain, haram hukumnya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 3: 

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحْمُ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ لِغَيْرِ ٱللَّهِ بِهِۦ

Maksud: Diharamkan kepada kamu memakan bangkai (binatang yang tidak disembelih), darah yang keluar mengalir, daging babi (termasuk semua anggota tubuhnya), binatang yang tidak disembelih kerana Allah. 

Begitu juga dengan makanan yang dibuat atau diletakkan di suatu tempat seperti tokong, kuil dan gereja dengan niat atau tujuan untuk diberi kepada berhala yang disembah/ dipuja adalah haram dimakan. Ini kerana perbuatan syiriknya, meskipun pada zatnya makanan itu adalah halal seperti buah-buahan, kuih-muih, minuman, makanan berbungkus dan sebagainya. Oleh itu wajib menghindarkan diri daripada memakan makanan tersebut.

Walau bagaimanapun, sekiranya makanan tersebut seperti minuman dan buah-buahan yang tidak digunakan untuk persembahan tokong atau berhala, maka ia harus dimakan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 56

message user image