BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt,

Sya ingin mendapatkan pandangan dan penjelasan daripada pihak tuan mengenai hukum seorang Muslim bekerja di sebuah syarikat antarabangsa yang terlibat dalam industri cryptocurrency.

Syarikat ini merupakan sebuah leading crypto market-making and trading firm yang beroperasi sejak tahun 2017. Aktiviti utama mereka termasuk menyokong projek token, bursa (exchanges), dan institusi dengan penyelesaian market-making, kepakaran DeFi, struktur perbendaharaan, serta pelaburan modal teroka. Syarikat ini juga mencatatkan lebih daripada $50 bilion jumlah dagangan tahunan melibatkan lebih 1,000 aset digital di 65+ bursa global.

Individu Muslim yang dimaksudkan berkhidmat dalam jabatan Human Resources (HR), dan tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti perdagangan atau pelaburan crypto syarikat.

Soalan saya:

  1. Apakah hukum bagi seorang Muslim bekerja di jabatan HR di syarikat crypto sebegini?

  2. Adakah pekerjaan dalam bahagian sokongan (seperti HR, pentadbiran, IT, atau pemasaran) dikira terlibat secara langsung dengan aktiviti syarikat dari sudut hukum syarak?

  3. Apakah garis panduan yang wajar dipertimbangkan sebelum menerima atau mengekalkan pekerjaan dalam bidang ini?

Saya amat menghargai bimbingan serta fatwa daripada pihak Jabatan Mufti bagi membantu membuat keputusan yang selari dengan tuntutan syariat Islam.

Sekian, terima kasih atas perhatian dan nasihat yang diberikan.

Wassalam.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

 

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-4/2021 yang bersidang pada 8 Muharram 1443H bersamaan 17 Ogos 2021 telah memutuskan bahawa:-

Harus untuk menjalankan urus niaga menggunakan mata wang digital sama ada sebagai perantara pembayaran (medium of payment), pemindahan wang (remittance) dan aset simpanan sekiranya memenuhi parameter-parameter di bawah:

a) Urus niaga melibatkan mata wang digital hendaklah dilakukan melalui platform pertukaran mata wang digital berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti sahaja;

b) Pengguna hendaklah mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai:

     i. Jenis, ciri-ciri utama dan risiko berkaitan mata wang digital;

    ii. Perkara-perkara teknikal yang mencukupi mengenai bagaimana untuk memperoleh mata wang digital dan di mana ia perlu disimpan untuk memastikan keselamatannya;

   iii. Peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh platform pertukaran mata wang digital berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti; dan

   iv. Undang-undang dan peraturan yang berkaitan mata wang digital.

c) Sebagaimana mata wang yang lain, mata wang digital hendaklah tidak digunakan sebagai bayaran kepada barangan, perkhidmatan dan aktiviti tidak patuh Syariah seperti pembelian dadah, pelacuran, perjudian dan pendanaan aktiviti keganasan serta penggubahan wang haram.

 

SOALAN 1 DAN 2: 

Sekiranya syarikat tersebut mematuhi syarat-syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam Fatwa di atas, maka bekerja di syarikat tersebut adalah diharuskan. Adapun syarikat tidak mematuhinya, maka ia tidak diharuskan kerana bertolong-tolong dengan perkara maksiat. sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

 

SOALAN 3: 

Tiada garis panduan khusus berkaitan ini, cukup hanya memahami apa yang halal dan haram dalam Islam atau merujuk di pihak berautoriti yang pakar dalam hal yang lebih teknikal dan hukum syarak. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 51

message user image