Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Bolehkah bekerja di restoran yang menyediakan makanan tidak halal? Jika bidang kerja cuma melibatkan memanggang ikan. Adakah haram gaji yang diterima?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, menerima gaji dari pekerjaan atau restoran yang menyediakan makanan tidak halal boleh membawa kepada hasil pendapatan yang bercampur antara yang halal dan haram. Ia boleh dikategorikan kepada dua iaitu halal jika pekerja tersebut tidak terlibat dalam penyediaan makanan tidak halal dan gaji hasil penjualan makanan tidak halal diasingkan. Namun, jika gaji bercampur daripada hasil pendapatan makanan tidak halal secara menyeluruh bagi restoran untuk bayaran gaji pekerja, pendapatan tersebut menjadi pendapatan yang syubhah dan ia wajar dielak dan dijauhi sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada An-Nu'man Bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh ramai orang. Maka sesiapa yang menjaga dirinya daripada perkara syubhah, sesungguhnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. Dan sesiapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, dia akan jatuh ke dalam perkara haram, ibarat seorang penggembala yang menggembala di sekitar kawasan larangan, hampir-hampir dia akan memasuki kawasan itu. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki kawasan larangan (yang tidak boleh dicerobohi), dan kawasan larangan Allah adalah perkara-perkara yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa dalam tubuh manusia ada seketul daging; jika ia baik, baiklah seluruh tubuhnya, dan jika ia rosak, rosaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah, ia adalah hati. (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas Rasulullah SAW bersabda dengan lafaz:
Maksudnya: Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.
Kesimpulannya pendapatan halal adalah asas keberkatan hidup seorang Muslim. Jika gaji yang diterima jelas datang daripada sumber halal, ia selamat. Namun jika bercampur dengan sumber haram tanpa pemisahan, maka ia menjadi syubhah yang sebaiknya ditinggalkan. Prinsip utama ialah mencari rezeki yang bersih dan meyakinkan, kerana ia akan memberi kesan langsung kepada keberkatan hidup, keluarga, serta doa seseorang.
Dalam masa yang sama, bagi mereka yang berada dalam keadaan ini, amat digalakkan untuk berusaha mencari alternatif pekerjaan yang lebih jelas halalnya secepat mungkin. Usaha meninggalkan perkara syubhah kerana Allah akan diganti dengan rezeki yang lebih baik dan penuh keberkatan, sebagaimana janji Allah dalam surah at-Talaq ayat 2-3:
Maksudnya: dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.
Sekian. Terima kasih.