Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya nak bertanya tentang hukum jual beli.
contoh 1: Jika kerajaan memberikan bantuan baucer RM100 dengan tujuan atau syaratnya untuk pembelian buku sahaja dan terdapat segilintir pelajar yang menjual semula baucer tersebut dengan harga separuh daripada harga tersebut dengan bertujuan untuk mendapatkan wang tunai/untuk makan.
Contoh 2: Jika sesorang itu menggunakan membeli buku dengan menggunakan baucer tersebut dan dia menjual semula buku itu. Adakah dibolehkan?
Apakah hukum bagi jual beli bagi contoh 1 dan 2 tersebut? Adakah halal? Atau ada pandangan lain?. Terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan:
Contoh 1: Jika kerajaan memberikan bantuan baucer RM100 dengan tujuan atau syaratnya untuk pembelian buku sahaja maka penggunaanya adalah terhad untuk perkara yang telah disyaratkan sahaja, ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati. (Riwayat Abu Daud)
Sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan, bantuan itu adalah khusus untuk pembelian buku atau seumpamanya bagi tujuan pembelajaran. Penyalahgunaan untuk tujuan selain itu adalah amat tidak sewajarnya berlaku dan sebaiknya dielakkan. Sekiranya baucer itu tidak diperlukan untuk keperluan sendiri, ia boleh dsebarkan kepada saudara atau rakan terdekat bagi pembelian buku sebagaimana yang ditetapkan.
Contoh 2: Dalam situasi sesorang itu menggunakan baucer untuk membeli buku dan dia menjual semula buku itu boleh dibahagikan kepada dua situasi:
Situasi 1: Jika tersilap beli contohnya seorang pelajar tersalah pilih buku, sudah ada buku tersebut atau silibus bertukar.
Dalam keadaan ini, menjual semula buku adalah harus, kerana dia telah guna baucer mengikut syarat asal (beli buku), dan buku itu sah miliknya. Menjual semula bukan bertujuan menipu atau menyalahgunakan, tetapi sebagai cara mengelakkan pembaziran.
Situasi 2: Jika memang sengaja beli buku untuk dijual semula demi dapatkan tunai contohnya seseorang yang memang dari awal dia tidak berniat guna untuk pembelajaran melainkan hanya mencari jalan untuk mendapatkan duit tunai.
Dari sudut hukum, walaupun jual beli itu sah kerana buku sudah jadi miliknya, tetapi niat dan tujuannya adalah menyalahi maksud asal bantuan kerajaan. Maka hukumnya adalah haram, kerana termasuk dalam unsur hiyal (helah) untuk lari daripada syarat pemberian. Helah sebegini tidak wajar dilakukan kerana ia menyalahi amanah dan menghilangkan maksud sebenar bantuan. Firman Allah SWT dalam suraj al-Isra' ayat 34:
Maksudnya: dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
Kesimpulannya, apa sahaja bentuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan perlu digunakan dengan penuh amanah dan menepati tujuan asal ia disalurkan. Menggunakannya secara jujur akan mendatangkan keberkatan dan manfaat, manakala mencari helah untuk menyalahgunakannya walaupun secara zahir nampak sah, tetap menyalahi semangat bantuan tersebut dan tidak selari dengan nilai integriti seorang Muslim.
Sekian, terima kasih