Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Boleh saya tanya. Saya jual kad permainan rm 5 satu pek. Setiap satu pek ada 5kad rawak didalamnya. Setiap kad ada no siri. Setiap pek saya untung rm 2 . Sekali saya bawa masuk dalam 500 pek. Modal keseluruhan untuk beli adalah 1500. Kalau saya habis jual maka saya boleh dapat 1000 untung bersih di situ. Disebab kan saya nak lariskan jualan. Saya modalkan rm 250 untuk hadiah bagi pembeli yang bertuah berdasarkan nombor siri tertinggi. Jadi setiap orang yang beli akan dapat 5 kad rawak itu. Dan jika nombor siri yang diterimanya tertinggi die boleh dapat hadiah. Adakah jualan sebegini dibolehkan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, hukum mempromosikan sesuatu produk dalam Islam adalah harus, selagi mana kaedah yang digunakan berlandaskan prinsip kejujuran, ketelusan, amanah dan keikhlasan. Penjual wajib memastikan produk yang dipasarkan adalah halal lagi baik (halalan ṭayyiban), serta tidak melibatkan unsur penipuan, pemalsuan atau memperdagangkan barangan yang haram.
Kaedah promosi juga mestilah beradab dan tidak melampaui batas syarak, seperti menggunakan gambar atau cara yang menjurus kepada unsur tidak senonoh. Niat yang baik tidak boleh menghalalkan cara yang salah.
Dalam senario yang dibincangkan, promosi hadiah yang ditawarkan adalah daripada modal penjual sendiri. Ia tidak termasuk dalam kategori perjudian kerana pihak pembeli tidak dikenakan bayaran tambahan untuk berpeluang memenangi hadiah tersebut. Pembeli hanya membeli barang pada harga asal seperti biasa, serta tetap memperoleh nilai dan kualiti barang yang dijanjikan tanpa ada pengurangan.
Sekian. Terima kasih.