Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya nak tanya mengenai penggunaan kad kredit konvensional, apakah hukumnya jika saya guna dan bayar on time dan tiada sebarang interest dikenakan keatas saya.
Jika boleh, bagaimana dengan rewards points atau cashback yang ditawarkan? Boleh saya gunakan atau tidak?
Jawapan
Hukum menggunakan kad kredit konvensional adalah haram, walaupun seseorang membayarnya tepat pada masanya dan tidak dikenakan sebarang kadar faedah. Ini kerana apabila seseorang mengambil kad kredit konvensional, dia sebenarnya telah bersetuju dengan satu kontrak yang mengandungi syarat riba, sedangkan riba jelas diharamkan dalam Islam.
Selain itu, dengan mengambil dan menggunakan kad kredit konvensional, seseorang secara tidak langsung menyokong serta mengiktiraf sistem kewangan konvensional yang berteraskan riba. Ia bukan sahaja menjerumuskan individu ke dalam akad yang batil, malah turut menguatkan lagi kedudukan institusi kewangan berasaskan riba dalam masyarakat.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 275:
Maksudnya: Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
Secara alternatifnya, tuan boleh melanggan kad kredit daripada perbankan Islam yang banyak menyediakan produk kad kredit patuh syarak.
Berdasarkan hadis yang dirwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Mencari yang halal adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim. (Riwayat at-Tabrani)
Sekian, terima kasih