Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Sy ingin bertanya berdosakah fotokopi kerja sekolah anak di pejabat atau kilang suami
Jawapan
Berdasarkan soalan yang diajukan, ingin dijelaskan bahawa Islam adalah agama yang sangat menjaga kesucian pendapatan yang diperolehi kerana ia akan menjadi darah daging serta akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Menggunakan barang atau sesuatu yang bukan milik kita adalah sesuatu yang diharamkan melainkan ia mendapat keizinan daripada pemilik harta tersebut. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.
Kaedah fiqh ada menjelaskan:
Maksudnya: Tidak boleh seseorang memanfaatkan sesuatu milik orang lain tanpa izin.
Oleh yang demikian, penggunaan kemudahan pejabat atau kilang untuk urusan peribadi tanpa kebenaran adalah tidak dibenarkan kerana ia termasuk dalam perkara khianat terhadap amanah. Jika mendapat keizinan daripada majikan, maka hukumnya harus dan tidak berdosa. Sebaiknya, mohon izin terlebih dahulu agar hati lebih tenang dan amanah kerja terpelihara.
Sekian, terima kasih.