Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya menerima duit dari akaun yang tidak dikenali (kemungkinan salah transfer). Telah menghubungi bank saya, tapi mereka juga tidak dapat mengenal pasti penama akaun tersebut (kerana berbeza jenis bank). Dan menurut bank, tiada aduan dari pemberi menyebabkan sukar utk detect owner account. Duit tersebut sudah didalam akaun saya berbulan-bulan.
Apa yang perlu / boleh saya buat dengan duit tersebut?
Dermakan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, duit yang diterima tersebut boleh dikategorikan sebagai harta yang tidak diketahui pemiliknya yang perlu diusahakan supaya dapat dikembalikan kepada pemilik asalnya. Jika sukar untuk mendapatkan pemilik asal duit tersebut setelah pelbagai usaha dilakukan, duit tersebut boleh diserahkan kepada pihak baitulmal negeri untuk digunakan sebagai maslahah umum atau kebajikan. Harta tersebut tidak diniatkan sebagai sedekah dari puan, tetapi sebagai pemulangan hak orang lain untuk digunakan kepada perkara bermanfaat. Adapun begitu, jika suatu hari nanti pemilik asal telah ditemui, puan hendaklah memulangkan jumlah asal tersebut kepadanya.
Sekian. Terima kasih.