BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum semua, sya ade pertanyaan yang diajukan. 

Saya mempunyai sebuah syarikat perkongsian bersama rakan. Syarikat ini tidak mempunyai simpanan kewangan yang banyak jika berlaku apa-apa. Jika ada wang lebihan dalam akaun, partner saya akan menghabiskan wang syarikat utk dibahagikan % kepada funder & rakan kongsi tanpa melihat keseimbangan syarikat. 

Justeru itu, sya (sebagai akuntan dlm syarikat) menyimpan wang syarikat dalam jumlah yang byk utk persediaan jika berlaku kecemasan tanpa diketahui oleh rakan kongsi & funder. Niat saya cuma untuk membuat persediaan untuk syarikat dan saya tidak memakai duit itu walau sesen pun. (Saya pegang secara tunai)

Persoalan saya,

1) adakah sya dikira tidak amanah (pecah amanah)??

2) apakah hukum jika saya menyimpan wang syarikat tanpa ketahuan rakan kongsi & funder??

3) adakah saya wajib memulangkan balik amaun yang saya pegang kepada akaun syarikat dan memberitahu kpd rakan kongsi?? 

 

Harap mendapat pencerahan soalan yang sya berikan, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara umum dalam Islam, harta syarikat yang ditadbir secara perkongsian termasuk dalam kategori amanah, ia wajib diurus dan ditadbir dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' Ayat 58:

إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).

Oleh itu, berdasarkan persoalan dan situasi yang dibincangkan maka jika seseorang menyimpan atau menahan sebahagian wang syarikat tanpa pengetahuan rakan kongsi dan funder, ia boleh dianggap menyalahi amanah kerana tindakan tersebut tidak melalui persetujuan pihak berkepentingan. Walaupun niatnya baik (untuk simpanan kecemasan), namun dari sudut syarak, harta syarikat adalah hak bersama dan tidak boleh diuruskan mengikut kehendak individu sahaja. Amanah bukan hanya pada niat, tetapi juga pada cara pengurusan yang telus.

Secara asasnya, perbuatan menyimpan wang tunai tanpa pengetahuan rakan kongsi dan funder hukumnya adalah haram kerana ia menyembunyikan maklumat yang sepatutnya diketahui oleh semua pihak yang berkepentingan. Prinsip syirkah atau perkongsian dalam Islam menuntut kejelasan, ketelusan, dan saling percaya. Menyembunyikan sebahagian harta walaupun tidak digunakan boleh menimbulkan syubhah dan fitnah.

Dalam situasi ini anda wajib memulangkan kembali wang tersebut ke akaun syarikat serta memaklumkan kepada rakan kongsi dan funder. Sekiranya ada keperluan untuk membuat tabung kecemasan, perkara ini hendaklah dipersetujui bersama dan diuruskan secara rasmi.

Kesimpulannya niat yang baik tidak menghalalkan cara yang salah. Oleh itu, langkah terbaik ialah mengembalikan wang itu kepada akaun syarikat serta mencadangkan secara rasmi kepada rakan kongsi dan funder supaya diwujudkan dana kecemasan syarikat. Dengan cara ini, amanah terjaga, syubhat dapat dielakkan, dan dengan demikian syarikat akan lebih kukuh dalam pengurusan.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 38

message user image