BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammualaikum,

Saya ada persoalan berkenaan dengan hutang arwah mak.Sebelum ni arwah mak ada melanggan perkhidmatan sewa beli penapis udara dengan syarikat coway.Sejak tahun pertama mak melanggan tiada bayaran yang dijelaskan dengan syarikat tersebut hingga la ianya tertunggak selama 2 tahun sebelum barang tersebut telah dipulangkan kembali dengan syarikat Coway pada tahun yang berikutnya.Persoalan saya,adakah perlu dibayar jumlah tunggakan selama 2 tahun tersebut sebab nama produk tersebut dibawah nama mak saya.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Hadis riwayat Abu Hurairah, sabda Nabi Muhammad SAW:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati(Riwayat Abu Daud)

Sebagaimana yang termaktub dalam kontrak perjanjian antara arwah ibu dengan pihak syarikat pembekal peralatan, bayaran bulanan sepatutnya dilunaskan sebagai memenuhi ikatan kontrak antara arwah dan pihak COWAY. Selagi bayaran itu belum diselesaikan, ia dikira sebagai hutang tertunggak.

Sebagaimana Riwayat Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: 

 إِنَّ خِيَارَكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً ‏

Maksudnya: Sesungguhnya yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutang. (Riwayat al-Bukhari)

Sebaiknya pihak keluarga perlu mendapatkan keterangan lanjut dengan COWAY sama ada hutang masih ada atau sudah terbatal disebabkan aset tersebut telah dipulangkan semula. Sekiranya masih hutang, sewajarnya ia dilunaskan menggunakan harta simati atau anak-anak dan ahli keluarga membantu arwah melunaskan hutangnya sebagai ehsan kepada arwah.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Shohib RA, Rasulullah SAW bersabda:

أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا

Maksudnya: Sesiapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari Kiamat) sebagai seorang pencuri. (Riwayat Ibnu Majah)

Disarankan agar segera menyelesaikan hutang arwah yang masih tertunggak, kerana ia merupakan tanggungjawab waris dan termasuk dalam amanah yang perlu ditunaikan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 34

message user image