Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya ada kemusykilan berkaitan trading FCPO di pasaran deveratif yang ditawarkan di Bursa Malaysia.
SOALAN : Apa hukum short selling dalam trading FCPO? Adakah ianya dibenarkan dan bagaimana pandangan syarak berkaitan perkara tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara asasnya, FCPO (Futures Crude Palm Oil) merupakan salah satu instrumen derivatif yang diniagakan di Bursa Malaysia Derivatives. Ia membolehkan pelabur menjangka pergerakan harga ke atas harga minyak sawit mentah pada masa hadapan, sama ada harga akan naik atau turun.
Konsep short selling dalam FCPO adalah merujuk kepada tindakan menjual kontrak niaga hadapan yang belum dimiliki dengan harapan harga akan turun, dan keuntungan diperoleh apabila kontrak tersebut dibeli semula pada harga yang lebih rendah.
Berdasarkan situasi di atas syarak melarang jual beli sesuatu yang tidak dimiliki pada waktu akad berlangsung. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam RA yang bertanya kepada Rasulullah SAW tentang menjual sesuatu yang dia tidak miliki:
Maksudnya: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, seorang lelaki datang kepadaku dan ingin membeli sesuatu yang tidak ada padaku, bolehkah aku beli dahulu dari pasar dan menjualnya kepadanya? Baginda bersabda: Jangan kamu menjual sesuatu yang tidak ada padamu. (Riwayat an-Nasai)
Hadis ini dijadikan dalil bahawa short selling secara konvensional yang melibatkan penjualan aset yang tidak dimiliki secara fizikal adalah tidak dibenarkan dalam syariat.
Oleh itu, short selling dalam trading FCPO di pasaran deveratif yang ditawarkan di Bursa Malaysia adalah tidak diharuskan menurut syarak.
Sekian, terima kasih.