Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t.
Saya ingin bertanya berkenaan hukum terlibat dalam aktiviti perdagangan pasaran hadapan minyak sawit mentah (FCPO) secara strategi spread trading, bukan secara outright. Dalam spread trading ini, saya hanya membuat posisi beli dan jual serentak pada dua kontrak FCPO yang berbeza bulan (contohnya beli bulan Ogos dan jual bulan Oktober) untuk mengambil keuntungan daripada perbezaan harga antara kedua-dua kontrak tersebut.
Soalan saya:
Apakah hukum berdagang FCPO secara spread trading menurut perspektif syariah Islam? Adakah ianya dibenarkan, memandangkan tiada unsur margin tinggi, leverage besar, atau spekulasi agresif seperti dalam perdagangan outright?
Sekian, terima kasih atas panduan yang diberikan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan,
Secara umumnya Kontrak FCPO telah diputuskan oleh MPS (Majlis Penasihat Syariah) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai salah satu produk patuh Syariah. Jadi para pelabur yang menitikberatkan pelaburan yang patuh syariah tidak perlu risau kerana produk ini dikategorikan sebagai harus.
Dalam menilai hukum strategi spread trading, beberapa prinsip utama syariah perlu diperhatikan:
a. Pemilikan dan Milikan Sementara (Qabd Hukmi)
Dalam FCPO, transaksi berlaku di platform yang diiktiraf, dan apabila posisi dibuka, wujud bentuk pemilikan yang jelas walaupun secara hukum (qabd hukmi). Ini telah diterima sebagai sah oleh MPS dalam konteks transaksi derivatif yang patuh syariah.
b. Tiada Unsur Penjualan Tanpa Milikan
Berbeza dengan short selling konvensional, dalam strategi spread trading FCPO, kedua-dua posisi yang dibuka adalah melalui kontrak derivatif yang sah dan telah ditentukan aset sandarannya (iaitu minyak sawit mentah). Maka, para pelabur perlu memastikan tiada unsur penjualan sesuatu yang belum dimiliki sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Hakim Bin Hizam RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Jangan kamu menjual sesuatu yang tidak ada padamu. (Riwayat Abu Daud)
Walaupun qabd hukmi melalui sistem elektronik seperti Bursa Malaysia Derivatives diterima sebagai satu bentuk pemilikan yang sah dalam konteks fiqh muamalat moden, namun para pelabur perlu memastikan ianya berlaku dengan sempurna sebelum transaksi seterusnya dilakukan.
c. Tiada Unsur Riba dan Gharar
Strategi spread trading lazimnya melibatkan margin yang lebih rendah dan kurang spekulasi melampau. Selagi mana tidak berlaku penggunaan leverage yang melampau, pembiayaan melalui riba, atau gharar (ketidakpastian) yang keterlaluan, maka ia boleh dinilai sebagai terkawal dan bukannya gharar fahish (ketidakpastian serius) yang membatalkan akad.
Secara keseluruhan, berdagang FCPO secara spread trading adalah harus sebagiaman diputuskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Maka, pelabur Muslim yang terlibat dengan pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) perlu memastikan setiap tindakan yang dilakukan adalah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berautoriti serta mematuhi syarat-syarat yang disebutkan di atas serta syarat-syarat umum pelaburan dan perniagaan yang telah digariskan dalam syariat..
Sekian, terima kasih.