Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan Mufti,
Saya ingin memohon pandangan hukum berkaitan satu urusan kerja.
Saya bekerja dalam bidang IT, dan syarikat saya telah menerima projek untuk menyediakan perkhidmatan internet dan pemasangan peralatan rangkaian (modem/router) di premis syarikat yang terlibat dalam aktiviti nombor ramalan (judi).
Untuk projek ini, jurutera kami akan masuk ke premis mereka bagi tujuan setup dan uji sambungan internet sahaja. Kami tidak terlibat langsung dengan sistem pertaruhan, perisian, atau operasi perjudian mereka.
Tujuan kami hanyalah untuk menyediakan sambungan internet seperti mana-mana premis perniagaan lain.
Soalan saya:
Apakah hukum mengambil projek seperti ini, dengan syarat kerja hanya melibatkan setup internet dan tidak terlibat dalam sistem pertaruhan?
Adakah kehadiran jurutera kami ke premis tersebut untuk tujuan setup dikira sebagai membantu dalam perkara haram?
Apakah panduan atau langkah berhati-hati yang patut kami ambil untuk elak rezeki syubhah atau haram?
Terima kasih atas pandangan dan nasihat yang diberikan.
Wassalam.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umumnya Islam sangat menekankan prinsip menjauhi segala bentuk sokongan dan kerjasama terhadap perkara yang jelas diharamkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya
Judi termasuk dalam kategori dosa besar berdasarkan nas al-Quran dalam surah al-Maidah ayat 90:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Dalam konteks projek yang dinyatakan, walaupun kerja teknikal hanya melibatkan pemasangan rangkaian internet dan tidak terlibat dalam sistem pertaruhan secara langsung, hakikatnya perkhidmatan itu tetap menjadi salah satu bentuk sokongan kepada kelangsungan operasi judi yang termasuk dalam unsur ta‘awun ‘ala al-ithm (membantu dalam dosa) yang ditegah syarak. Maka hukum asalnya ialah tidak harus.
Sekiranya seseorang itu hanya merupakan pekerja yang tidak ada kuasa membuat keputusan contohnya jurutera yang hanya menurut arahan syarikat, maka tanggungjawab menanggung dosa adalah lebih berat kepada pihak yang meluluskan dan menerima kontrak tersebut. Namun begitu, para pekerja muslim perlu:
Menyatakan pendirian tentang hukum asal bermuamalat dengan syarikat yang terlibat dalam perkara haram, sekadar kemampuan, tanpa menjejaskan kelangsungan pekerjaan bersama syarikat tersebut.
Memohon alternatif tugasan jika ada ruang, agar tidak terlibat secara langsung.
Banyak beristighfar dan berdoa agar Allah membuka jalan keluar dan rezeki yang lebih bersih.
Oleh itu adalah dinasihatkan agar sebuah syarikat milikan orang Islam agar memerhatikan perkara berikut:
Bezakan perkhidmatan umum dengan khusus. Jika perkhidmatan yang disediakan pada kapasiti umum misalnya rangkaian telekomunikasi untuk kawasan atau bangunan yang bercampur premis, ia lebih ringan dari sudut hukum berbanding jika kontrak terus ditandatangani dengan premis judi itu sendiri.
Cari alternatif rezeki yang bersih. Walaupun ada keuntungan dari segi dunia, keberkatan rezeki lebih utama. Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya apabila Allah mengharamkan sesuatu, maka Dia mengharamkan harganya (hasil daripadanya). (Riwayat Abu Daud)
Elakkan perkara yang yang syubhah. Kehadiran jurutera untuk setup di premis perjudian boleh dianggap sebagai tanda kerjasama atau pengiktirafan terhadap operasi tersebut. Maka langkah paling selamat adalah tidak terlibat secara langsung.
Kesimpulannya, berdasarkan prinsip syarak, mengambil projek penyediaan perkhidmatan pemasangan rangkaian internet secara langsung untuk premis yang menjalankan aktiviti perjudian adalah tidak harus, kerana ia termasuk dalam bentuk bantuan terhadap perkara haram. Sebaiknya, syarikat mencari projek lain yang lebih bersih daripada unsur syubhah, demi memastikan rezeki yang diperoleh adalah halal lagi diberkati.
Sekian, terima kasih.