Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asslmkm wbt, yg di hormati SS Dato' Mufti moga sentiasa di dalam pemerliharaan Allah swt. Kemusykilan saya adalah seperti yang berikut:
Sewaktu almarhummah isteri saya masih hidup, pada tahun 2009, ibunya telah memberi hibah atas sebab kasih sayang dan secara sukarela sekeping tanah dan diatas tanah tersebut terdapat sebuah rumah. Proses pertukaran nama di dalam geran telah dibuat dan nama almarhum isteri saya telah dimasukkan & tercatat di dalam geran yang turut dikongsi oleh lima penama yang lain. Selepas kematian isteri saya pada tahun 2013, ibu mertua saya telah meminta supaya dipulangkan semula tanah tersebut atas alasan untuk diberikan kepada orang lain. Almarhummah isteri saya meninggalkan seorang ibu, suami beserta enam anak (4 lelaki & 2 perempuan) Persoalannya:
1. Bukankah Harta hibah tersebut telah bertukar menjadi harta yg wajib difaraidhkan selepas pemiliknya meninggal dunia?
2. . Bolehkah ibu mertua saya meminta semula harta yg telah dihibahkan kpd anaknya (isteri saya) selepas dia meninggal dunia?
3. Apa hukum meminta semula harta faraidh
4. Adakah wajib kami memulangkan semula tanah tersebut kepada ibu mertua saya?
Sekian terima kasih. Wassallam.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, tanah tersebut merupakan harta pusaka arwah isteri yang perlu dibahagikan secara faraid kepada waris-waris yang layak ke atas kematian arwah isteri.
Adapun ibu mertua tuan meminta semula hak tanah itu selepas isteri tuan meninggal dunia, hukumnya adalah haram. Hal ini kerana, akad hibah merupakan akad tabarru' yang mana apabila hibah telah sempurna rukun-rukun dan juga syarat-syaratnya, serta telah sempurna penerimaan barangan hibah tersebut, maka jelaslah ianya merupakan hak milik si penerima. Sebagaimana hadis dalam Sahih al-Bukhari yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu orang yang meminta semula anugerah (hibah) mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.
Oleh yang demikian, tidak dibenarkan ke atas seseorang pemberi hibah itu tadi meminta semula hibah yang telah diberikan kepada orang lain melainkan penghibah iaitu ayah, meminta semula harta yang telah dihibahkan kepada penerima hibah iaitu anaknya.
Walau apa pun, harta tersebut merupakan hak milik bagi setiap waris-waris arwah isteri tuan. Oleh yang demikian, ianya terserah kepada waris-waris arwah isteri sekiranya ahli waris tidak mempersetujui untuk memulangkan semula kepada ibu mertua tersebut, hukumnya adalah tidak berdosa dan boleh menolak secara baik atas permintaan tersebut. Namun, sekiranya ahli waris bersetuju untuk dipulangkan kembali kepada ibu kepada arwah isteri, maka ianya dianggap hadiah.
Sekian, terima kasih.