BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

SAYA DAN ISTERI TIADA ANAK KANDUNG DAN TIDAK MENGAMBIL ANAK ANGKAT CUMA HIDUP BERDUA SAHAJA SEHINGGA KINI. IBUBAPA KAMI BERDUA TELAH MENINGGAL DUNIA. KAMI BERDUA ADA SAUDARA KANDUNG/ADIK BERADIK LELAKI DAN PEREMPUAN SEIBU SEBAPA. KAMI BERHASRAT UNTUK MENGINFAQKAN SEMUA HARTA PENINGGALAN KAMI SEBAGAI AMAL JARIAH DENGAN HARAPAN PAHALANYA AKAN MENGALIR BERTERUSAN KEPADA KAMI SEHINGGA HARI KIAMAT SETELAH KAMI MENINGGAL DUNIA.

1. ANDAINYA SAYA MENINGGAL DUNIA, SIAPAKAN PEWARIS MENGIKUT HUKUM FARAID KE ATAS HARTA PENINGGALAN SAYA YANG BOLEH DIWARISI DAN PERATUS HAK PEWARIS TERSEBUT? 

2. ANDAINYA ISTERI SAYA MENINGGAL DUNIA DULU SIAPAKAH PEWARIS MENGIKUT HUKUM FARAID KE ATAS HARTA PENINGGALAN ATAS NAMA ISTERI SAYA DAN PERATUS HAK PEWARIS TERSEBUT?

3. ADAKAH CARA UNTUK MENGELAKKAN HARTA PENINGGALAN SAYA DAN ISTERI SAYA DIBAHAGIKAN SECARA HUKUM FARAID SETELAH KAMI MENINGGAL?

4. ADAKAH KAMI BERDOSA SEKIRANYA KAMI MERANCANG SUPAYA HARTA PENINGGALAN KAMI TIDAK DIBAHAGIKAN MENGIKUT HUKUM FARAID?

5. BOLEHKAH SEMUA HARTA KAMI(100%) DIWARISKAN/DIBERIKAN KEPADA MEREKA/PIHAK YANG KAMI INGINKAN UNTUK MEWARISI HARTA KAMI ATAU ADA SEBAHAGIAN WAJIB DIFARAIDKAN JUGA?

6.SEKIRANYA WANG SIMPANAN KAMI DALAM BANK, KAMI TELAH MEMBUAT PENAMAAN(NAMA SUAMI@ ISTERI), ADAKAH PENAMAAN TERSEBUT TERPAKAI SETELAH KAMI MENINGGAL DUNIA ATAU TERBATAL DAN WAJIB DIFARAIDKAN JUGA?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan-persoalan yang dikemukakan, pihak tuan boleh rujuk sebagaimana jawapan berikut:

Jawapan bagi soalan 1 & 2:

Sekiranya tuan meninggal dunia terlebih dahulu dari isteri tuan, waris yang berhak mewarisi harta pusaka tuan adalah isteri sebanyak 1/4 bahagian kerana si mati tidak mempunyai anak dan saudara seibu sebapa lelaki dan perempuan tuan (adik-beradik tuan) yang mewarisi secara Asobah (menerima baki harta bagi menghabisi harta yang ditinggalkan). Manakala, sekiranya isteri tuan meninggal dunia dahulu daripada tuan, maka waris yang berhak mewarisi harta pusaka isteri tuan adalah suami (tuan) sebanyak 1/2 bahagian kerana si mati tidak mempunyai anak, saudara seibu sebapa lelaki dan perempuan tuan (adik-beradik kepada isteri) yang akan mewarisi secara Asobah (menerima baki harta bagi menghabisi harta yang ditinggalkan).

Jawapan bagi soalan 3, 4 & 5:

Perbuatan mengelakkan harta pusaka dari dibahagikan secara hukum faraid adalah sesuatu yang dilarang dalam Islam dan perbuatan tersebut amat dibenci serta hukumnya adalah berdosa di sisi Islam. Hal ini kerana, perbuatan tersebut merupakan satu perosak kepada hukum syarak jika ianya dilaksanakan dengan niat untuk menyekat orang yang berhak menikmati harta pusaka tersebut daripada menerima haknya.

Berdasarkan persoalan tuan di ruangan no. 5, sekiranya tuan merancang untuk menguruskan harta dengan diberikan atau dihibahkan atau diwariskan atau diwakafkan kepada sesiapa yang tuan berkeinginan, hukumnya adalah harus kerana ianya merupakan instrumen-instrumen dalam pengurusan harta. Namun, perbuatan tersebut perlulah berbalik kepada hukum asal kepada instrumen pengurusan harta, iaitu, atas dasar kasih sayang, ingin ganjaran pahala dan berniat murni dalam membantu orang yang dalam kesusahan dan bukan sebaliknya, iaitu berhasrat agar waris tidak dapat mewarisi harta pusaka sekiranya meninggal dunia atau dalam erti kata lainnya adalah menafikan hak-hak waris sekiranya tuan meninggal dunia.

Nabi Muhammad SAW ada menyebut dan menggalakkan kepada umat Islam bahawasanya lebih baik sekiranya si mati itu meninggalkan waris dalam keadaan yang senang daripada meninggalkan mereka dalam keadaan yang tiada apa untuk dinikmati.

Sebagaimana hadis dalam Sahih al-Bukhari yang diriwayatkan daripada Sa'd bin Abi Waqqas RA:

عن سعاد بن أبي وقاص رضي الله عنه, قُلتُ: يا رَسولَ اللَّهِ، أُوصِي بمالِي كُلِّهِ؟ قالَ: لا، قُلتُ: فالشَّطْرُ، قالَ: لا، قُلتُ: الثُّلُثُ، قالَ: فالثُّلُثُ، والثُّلُثُ كَثِيرٌ، إنَّكَ أنْ تَدَعَ ورَثَتَكَ أغْنِياءَ خَيْرٌ مِن أنْ تَدَعَهُمْ عالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ في أيْدِيهِمْ

Maksudnya: Daripada Saad bin Abi Waqqas RA, aku telah berkata: "Ya Rasulullah, Bolehkah aku mewasiatkan kesemua hartaku?" Rasulullah SAW menjawab: "Tidak boleh", Aku bertanya lagi: "Bagaimana dengan saparuh daripadanya?" Rasulullah SAW menjawab: "Tidak boleh", Aku bertanya lagi: "Bagaimana dengan satu pertiga daripadanya?" Rasulullah SAW menjawab: "Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya atau mencukupi, ia lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan (bantuan) manusia".

Diharuskan untuk mewasiatkan harta pusaka kepada selain daripada waris, dengan tidak melebih 1/3 daripada keseluruhan harta selepas kematiannya. Dan diharuskan memberi hibah atau hadiah kepada sesiapa yang disuikai termasuk ahli waris apa-apa harta tanpa had semasa pemilik harta masih hidup.   

Jawapan bagi soalan 6:

Penama yang telah dilantik berperanan sebagai wasi ataupun pemegang amanah dalam menguruskan harta/wang si mati sebelum diagihkan kepada waris-waris yang berkelayakan dan bukannya pemilik mutlak ke atas harta/wang itu. Merujuk kepada situasi tuan, penama tersebut perlulah bertindak untuk menjalankan tanggungjawabnya menguruskan wang simpanan di dalam bank milik si mati untuk diberikan kepada waris-waris yang berhak. Berdasarkan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-15 yang bersidang pada 6 Mac 1978 telah membincangkan Penama. Persidangan telah memutuskan bahawa:

"1. Melantik penama (Nomination) oleh orang-orang Islam dalam mana-mana badan atau institusi di mana mereka menyimpan sebarang harta adalah tidak sah untuk diterima sebagai waris yang berhak menerima pusaka si mati cuma ia adalah sebagai yang melaksanakan wasiat untuk membahagikan harta pusaka tersebut kepada para waris mengikut hukum syarak."

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 65

message user image