Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamulaikum,
Saya disini ingin bertanya berkenaan topik yang baru sahaja berkembang di negara kita ini berkenaan kopi najis gajah yang berasal dari Thailand. Kopi ini menjadi kopi yang sangat mahal mencecah RM220 secawan yang saya baca dari pautan berikut :
https://www.xtra.com.my/secawan-rm200-kopi-tahi-gajah-paling-mahal-di-dunia/
Yang saya belajar setakat ini, kopi luwak adalah halal untuk diminum dengan syarat-syarat tertentu iaitu biji kopi itu bersih dari najis, dan masih baik bentuk dan boleh hidup jika ditanam.Adakah konsep ini boleh disamakan dengan kopi najis gajah ini?
Jawapan
Kopi Najis Gajah atau dikenali sebagai "Black Ivory Coffee" berasal dari Thailand. Didapati prosesnya adalah biji kopi diberi makan kepada gajah, dan akan melalui sistem penghadaman dan akan keluar bersama najis gajah. Pekerja akan mengutip biji kopi yang masih utuh daripada najis, dicuci dan diproses dijadikan kopi yang mahal. Proses ini adalah mirip dengan kopi Luwak (musang), tetapi melibatkan haiwan yang lebih besar – iaitu gajah.
Hukum meminum kopi tahi gajah adalah sama dengan meminum kopi luwak sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan. Berdasarkan fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 2013:
1. Biji kopi luwak adalah bersifat mutanajjis. Walau bagaimanapun, ia harus dijadikan bahan minuman dengan syarat biji kopi tersebut hendaklah:
(a) Disucikan daripada najis; dan
(b) Dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam.
2. Kopi luwak yang dihasilkan hendaklah mendapatkan sijil pengesahan halal JAKIM/MAIN.
Sekian, terima kasih.