BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Apakah hukum saya memandulkan arnab betina saya?


message user image

Jawapan  

.وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

.الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Hukum makan daging arnab adalah halal mengikut jumhur ulama'. Ini berdasarkan hadis Anas R.A yang berkata:

أَنْفَجْنَا أَرْنَبًا فَسَعَى الْقَوْمُ فَلَغَبُوا ، فَأَخَذْتُهَا وَجِئْتُ بِهَا أَبَا طَلْحَةَ ، فَذَبَحَهَا وَبَعَثَ بِوَرِكِهَا - أَوْ قَال : بِفَخِذِهَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَبِلَهُ

Maksudnya: Kami terserempak dengan arnab lalu mengejarnya. Dan aku dapat menangkapnya serta membawa kepada Abu Talhah. Beliau sembelih dan memberi sebahagiannya kaki atau pehanya kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menerimanya.

Merujuk persoalan diatas, hukum memandulkan haiwan yang halal dimakan adalah halal ketika mana haiwan tersebut masih kecil dan mengharamkan pemandulan dilakukan ketika haiwan itu sudah besar. Imam Nawawi ada menuliskan pendapat Imam Baghawi, “Haram mengasi semua haiwan yang tidak boleh dimakan. Adapun haiwan yang boleh dimakan maka boleh mengasinya ketika masih kecil, dan haram ketika sudah besar.” -al-Minhaj fi Syarh, Sahih Muslim, 9/117.

Selain itu, pemandulan binatang ternakan dibolehkan di dalam mazhab Hanafi kerana ianya boleh menggemukkan dan menambah dagingnya.-al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/122. Hukum memandulkan binatang kerana tujuan tertentu atau untuk menolak kemudaratan adalah harus. Syeikh al-Sindi ketika menjelaskan hadis di atas berkata bahawa kemungkinan larangan untuk memandulkan binatang itu hanyalah ketika tidak ada keperluan. Selain itu, Imam al-Qurtubi juga menjelaskan sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani:

الخصاء في غير بني آدم ممنوع في الحيوان إلا لمنفعة حاصلة في ذلك كتطييب اللحم أو قطع ضرر عنه

Maksudnya: Perbuatan memandulkan selain manusia seperti binatang adalah dilarang kecuali untuk kebaikan, seperti menyedapkan daging atau mencegah kemudaratan.

Oleh yang demikian, jika terdapat keperluan yang mendesak seperti mengelakkan kematian atau lainnya maka harus untuk bertaqlid dengan mazhab Hanafi. Hal ini berdasarkan kaedah fiqh:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: Kemudaratan itu mestilah dihilangkan.

Pandangan ini selari dengan fatwa daripada Dar al-Ifta’ al-Urduniyyah:

وأما إذا كان في خصاء الحيوان دفع مفسدة متحققة، وضرر واقع، فيجوز خصاؤه حينئذ؛ فالشريعة الإسلامية جاءت رافعة للحرج ودافعة للضرر

Maksudnya: Jika memandulkan haiwan untuk mengelakkan kerosakan yang pasti atau kemudaratan yang jelas maka hukumnya harus. Syariat Islam datang untuk mengangkat kepayahan dan menolak kemudaratan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 45

message user image