Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Dengan segala hormatnya saya ingin mendapatkan pandangan dan penjelasan hukum daripada pihak tuan berkenaan isu berkaitan pemberian harta oleh bapa saya kepada saya semasa beliau masih hidup.
Untuk makluman, pada tahun 2023, bapa saya telah memberikan kepada saya sebuah rumah yang dibeli ketika bersama isteri keduanya, iaitu ibu saya. Pemberian ini dibuat secara rasmi dan geran rumah telah pun ditukar kepada nama saya. Saya pernah menolak pada awalnya, tetapi selepas beberapa ketika saya menerima dan proses pemilikan telah diselesaikan.
Saya merupakan anak bongsu daripada empat beradik seibu — tiga lelaki termasuk saya, dan seorang perempuan. Selain itu, saya juga mempunyai tiga orang adik-beradik lain ibu dengan saya — dua perempuan dan seorang lelaki — daripada perkahwinan bapa saya yang terdahulu. Salah seorang daripada mereka, iaitu abang saya, tidak pernah mendapat nafkah daripada bapa saya kerana dibesarkan oleh ibunya selepas perceraian. Kini semua adik-beradik telah dewasa, berkahwin dan bekerja, kecuali saya yang masih berumur 24 tahun dan mungkin akan menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
Bapa saya juga pernah menyatakan kepada abang saya yang lain bahawa rumah itu diberikan kepada saya dengan harapan saya dapat menjaga ibu saya apabila beliau sudah tiada. Selain daripada saya, difahamkan salah seorang daripada adik-beradik seibu saya juga pernah diberikan sebuah rumah oleh bapa saya, namun saya tidak pasti bila rumah itu dibeli dan bila proses penukaran nama dibuat.
Kini timbul bantahan daripada beberapa orang adik-beradik saya yang lain. Ada yang secara lisan menyatakan tidak bersetuju dan ada juga yang seolah-olah mengugut akan membawa perkara ini ke mahkamah sekiranya berlaku penceraian antara ibu saya dan bapa saya. Bapa saya pula kini uzur dan kadangkala bercakap perkara yang kurang jelas. Beliau ada menyebut seperti menyesal memberikan rumah kepada saya, namun kenyataan beliau tidak konsisten.
Sehubungan dengan itu, saya ingin mendapatkan penjelasan pihak tuan berkenaan:
Apakah hukum saya menerima rumah ini daripada bapa saya semasa beliau masih hidup? Adakah ia termasuk dalam hibah yang sah?
Adakah saya dianggap mengambil hak abang saya yang tidak mendapat nafkah tersebut?
Apakah langkah yang terbaik dan paling adil menurut syarak yang boleh saya lakukan untuk elakkan perbalahan sesama ahli keluarga?
Adakah abang saya atau adik-beradik lain yang membantah ini boleh menuntut saya di mahkamah? Dan apakah hukum kedudukan mereka serta saya dalam hal ini?
Sekian dan terima kasih atas pertimbangan pihak tuan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, pihak tuan boleh rujuk sebagaimana jawapan berikut:
Soalan 1: Hukumnya adalah harus menerima pemberian hibah tersebut dan proses pelaksanaan hibah tersebut adalah sah kerana melengkapi rukun-rukun hibah iaitu pemberi hibah, penerima hibah, harta yang dihibahkan serta ijab dan qabul.
Soalan 2: Tuan tidak dianggap mengambil hak abang kerana terima nafkah dan terima hibah adalah sesuatu yang berbeza. Nafkah anak adalah tanggungjawab seorang bapa untuk menyara keperluan anaknya termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan. Manakala hibah pula suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara SUKARELA terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan. Oleh yang demikian, terimaan hibah tuan tersebut bukanlah dikira mengambil hak orang lain, sedangkan ianya adalah KEMAHUAN bapa tuan sendiri secara sukarela dan juga bukan dikira sebagai ganti rugi terhadap tanggungjawab bapa tuan yang tidak memberikan nafkah kepada abang.
Soalan 3: angkah-langkah yang boleh dipertimbangkan oleh pihak tuan adalah sebagaimana berikut:
Soalan 4: Sekiranya adik-beradik lain ada yang membantah terhadap harta yang dihibahkan tersebut, maka mereka perlu membuat tuntutan di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan pengesahan hibah.
Sekian, terima kasih.