Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum W.B.T.,
Saya ingin bertanya, apakah hukum jual beli voucher free? Sebagai contoh saya dapat voucher free (voucher buku RM100 misalnya), dan voucher tu hanya boleh dituntut di dalam talian (kiranya saya dapat voucher tu secara dalam talian dan bukan secara fizikal). Dan saya ingin menjual voucher tersebut kepada orang lain kerana tidak digunakan oleh saya. Saya menjual voucher tersebut dengan harga RM50 kebawah. Adakah dibenarkan syarak dan sah jual beli nya? Mohon pencerahan.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan,
Secara asasnya, hukum jual beli voucher adalah harus selagi mana ia memenuhi rukun dan syarat yang ditetapkan. Voucher pula secara umumnya diiktiraf sebagai suatu bentuk nilai manfaat, seumpama wang. Oleh itu, menjual voucher tersebut kepada orang lain dengan harga yang lebih rendah adalah dibenarkan, selagimana tidak terdapat unsur yang bercanggah dengan syarak seperti riba, gharar atau penipuan.
Namun demikian, perlu diperhatikan syarat yang ditetapkan oleh pihak pengeluar voucher seperti syarikat atau agensi kerajaan. Jika dinyatakan secara jelas bahawa voucher berkenaan tidak boleh dipindah milik atau dijual, maka menjualnya dianggap melanggar terma akad, jual belinya sah tetapi berdosa kerana melanggar syarat yang ditetapkan oleh pengeluar voucher sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Kaum Muslimin terikat dengan syarat-syarat yang mereka tetapkan. (Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi)
Sekian. Terima kasih.