Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam, saya ada masalah was-was terutama sekali berkenaan najis mughallazah dan saya ingin bertanya soalan seperti berikut:
1) Beberapa bulan lepas, saya ada bertanya tentang najis hukmi; iaitu adakah najis hukmi boleh berpindah? Dan jawapan yang diberi adalah tidak kerana ain telah hilang. Jadi, saya ingin bertanya - adakah najis mughallazah yang telah hilang ain dan menjadi najis hukmi juga tidak berpindah? Contoh situasi yang saya alami adalah seperti berikut:
a) Setelah membasuh tangan, tangan saya yang basah telah tersentuh bekas plastik yang berisi air, sabun dan span basuh pinggan yang dilabel non-halal di pantri pejabat. Lalu, saya membasuh tangan saya menggunakan air. Dan dengan tangan yang basah ini, saya telah pun memegang barangan lain seperti laptop, pintu dan sebagainya sebelum saya boleh melakukan sertu. Jadi, adakah barangan yang telah saya sentuh dengan tangan yang basah ini menjadi najis mughallazah?
b) Saya telah makan coklat (dan coklat telah terkena tangan saya dan kemudian saya basuh tangan menggunakan air sahaja) dan beberapa hari selepas itu, saya sedar bahawa coklat ini mengandungi gelatin. Dan contoh, saya mendapat kepastian bahawa gelatin ini sememangnya daripada khinzir, bagaimana dengan barangan yang telah saya sentuh dengan tangan yang basah terutama sekali seperti sinki, pili di bilik air, seluruh badan saya, tuala dan sebagainya kerana saya telah pun mandi beberapa kali. Dan bagaimana pula dengan barangan yang bukan kepunyaan saya? Contohnya sudu, garpu dan cawan di restoran dan juga tombol pintu di pejabat yang semua ini telah saya sentuh dengan tangan yang basah? Adakah saya harus mengelak daripada menyentuh semua barangan ini dengan tangan yang basah? Dan bagaimana pula contohnya saya pergi menziarah rumah ibu bapa dan telah memegang pelbagai barangan dengan tangan yang basah seperti pinggan mangkuk dan sebagainya? Bagaimana saya nak selesaikan masalah ini?
2) Saya mempunyai rakan sekerja muslim yang ada memakan daging khinzir. Selain itu, dia juga menggunakan sinki, pinggan dan cawan yang disediakan di pantri, di mana saya pula mengelak daripada menggunakan sinki, pinggan dan cawan kerana masalah was-was di mana saya yakin dan pasti rakan rakan sepejabat memakan daging khinzir dan membasuh bekas makanan mereka di pantri. Pada suatu hari, kami keluar makan tengahari beramai-ramai dan rakan saya ini telah meletakkan lauk di pinggan saya menggunakan garpu yang telah dia gunakan. Saya khuatir dengan status air liurnya kerana 1) dia memakan daging khinzir pada waktu waktu lain dan 2) dia tidak elak daripada menggunakan perkakas makanan di pejabat yang dikongsi dengan orang bukan islam. Jadi, bagaimana pula dengans status saya yang telah makan, lauk yang diletakkan oleh rakan saya ini?
3) Pada tahun lepas, rakan sekerja saya membawa sup khinzir ke pejabat dan dia duduk di sebelah saya. Sebelum saya keluar makan tengahari, saya lihat bahawa di hujung kiri meja saya, ada setitik air bersebelahan dengan bekas sup khinzir itu oleh itu saya pasti bahawa titisan air itu adalah sup khinzir tesebut. Lalu, saya pun keluar untuk makan tengahari. Waktu saya balik, saya lihat titisan air itu telah tiada, dan saya beranggapan bahawa rakan saya telah mengelap titisan air itu. Untuk beberapa hari, saya letak tisu dan kain di atas titisan itu. Dan pada hari hujung minggu, saya datang ke pejabat untuk lakukan sertu.
a) Selepas mengelap, dengan tisu kering, saya ada merenjis air. Kemudian, saya berasa takut jika renjisan air ini telah terpercik ke barangan lain dan saya cuba sedaya upaya untuk membuang kebanyakan barangan di meja ke dalam tong sampah (tong sampah ini merupakan swing top dan saya telah menolak barangan saya ke dalam tong sampah melalui swing top ini dan kebanyakan barangan ini terkena swing top tersebut. [Beberapa hari selepas itu, saya tersentuh permukaan swing top ini, pada waktu ini saya tidak dapat memastikan sekiranya tangan saya atau permukaan swing top itu basah kerana swing top ini diperbuat daripada besi, jadi sentuhan tersebut berasa sejuk. Selepas tersentuh, saya terus pergi membasuh tangan saya. Tapi selepas itu, saya berasa runsing kembali mengenai status tangan dan air dari tangan saya yang menyentuh pelbagai barangan seperti laptop, kerusi.]
b) Kemudian pada hari hujung minggu itu, saya mulakan sertu. Soalan saya, adakah air sertu yang mengalir ke kawasan lain di meja seperti ke charger dan sebagainya akan memindahkan najis mughallazah ke kawasan lain ini? Sebab saya pasti air telah mengalir ke kawasan lain, cuma saya tidak dapat memastikan sekiranya kawasan yang lain ini dialirkan kesemua air basuhan (contohnya, kawasan charger itu terletak dia bawah meja. Dan saya tak pasti sekiranya kawasan ini hanya terkena 3 daripada 6 basuhan atau bagaimana). Jadi apakah status kawasan / barangan lain ini?
4) Apakah caranya untuk saya menangani masalah was-was di pejabat? Jika rakan sekerja saya meletakkan sesuatu barang contoh charger laptop di dalam bag bekas makananannya yang mengandungi bekal yang basah setelah dibasuh, adakah charger laptop rakan saya ini najis mughallazah? Kerana telah terkena bekas makanannya yang basah itu? Dah kerana bekas makanannya dibawa dari rumah, jadi ianya pasti najis mughallazah kerana digunakan untuk makanan tidak halal seperti khinzir? Saya runsing terutama sekali apabila harus bertukar meja di pejabat kerana ada kemungkinan untuk saya dapat meja yang sebelum ini diduduki seorang orang bukan islam, dan saya biasa melihat orang tersebut makan di mejanya. Bagaimana pula dengan meja dia pantri? Oleh kerana saya yakin dan pasti orang bukan islam ramai yang makan makanan tidak halal di pantri, adakah saya boleh menggunakan meja di pantri?
5) Bagaimana pula dengan situasi di mana kami makan tengahari di luar contohnya di kedai yang diiktiraf halal oleh JAKIM. Tetapi, salah seorang rakan bukan islam telah membawa bekal makanannya dari rumah. Saya tidak bertanya apakah makanan itu, tapi rakan saya menggunakan perkakas seperti sudu dan piring dari kedai itu. Adakah saya patut mengelak makan di kedai ini pada masak akan datang kerana perkakas di kedai ini sudah menjadi najis? Di dalam situasi ini, adakah saya patut bertanya kepada rakan saya apakah makanan yang dimakan itu?
Saya berharap sangat masalah was-was saya ini dapat diselesaikan. Terima kasih
Jawapan
Najis hukmiyyah ialah najis yang diyakini ada di suatu kawasan tetapi tidak terdapat ‘ain najis seperti bau, warna dan rasa. Hal ini termasuk juga najis mughallazah yang telah hilang ain najis. Cara mensucikan najis hukmiyyah tersebut adalah dengan dialirkan air mutlak ke kawasan najis hukmiyyah manakala apabila bersentuhan dengan sesuatu dalam keadaan basah atau kering, najis hukmiyyah tidak berpindah kerana tidak terdapat ‘ain najis padanya. Seterusnya, air basuhan najis hukmiyyah menjadi air musta’mal iaitu hukumnya suci tetapi tidak menyucikan.
(Rujuk Tuhfah al-Muhtaj 1/317, Mughni al-Muhtaj 1/242, Asna Matalib 1/19 dan 1/22)
Berdasarkan soalan, secara keseluruhan tuan/puan mempunyai masalah was-was yang dahsyat. Justeru, penyelesaiannya adalah sekiranya masih ragu-ragu sama ada terdapat najis atau tidak di sesuatu tempat maka boleh mengambil hukum asal iaitu asal sesuatu tempat itu suci melainkan dengan jelas terdapat ain najis yang dapat dilihat warnanya atau dapat dihidu baunya atau dapat dirasai.
Berdasarkan kaedah Fiqh yang berbunyi:
Bermaksud: Pada asasnya, (hukum) sesuatu itu kekal mengikut keadaan (hukum) asalnya.
Hukum asal sesuatu itu adalah suci, maka ia akan terus kekal suci. Manakala najis itu sifat atau keadaan yang mendatang, maka ia perlu dibuktikan dengan keyakinan, dan bukan ragu-ragu.
Sekian, terima kasih.