BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya nak tanya, adakah halal/dibenarkan dalam Islam untuk buat lash tint yang boleh bawa wudhu?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan saudari, Lash Tint ialah sejenis pewarna khusus untuk bulu mata yang bertujuan menjadikannya kelihatan lebih gelap dan menyerlah. Dari sudut hukum Islam, berhias dengan pewarna seperti ini pada asalnya adalah harus kerana ia termasuk dalam perhiasan yang diharuskan syarak, selagi tidak mengubah ciptaan asal, tidak bertabarruj iaitu menonjolkan perhiasan atau kecantikan di hadapan lelaki ajnabi secara berlebihan hingga menarik perhatian dan boleh menimbulkan fitnah, tidak melibatkan bahan najis, serta tidak menyerupai amalan yang ditegah.

Namun, aspek penting yang perlu diperhatikan ialah kaitannya dengan wudhu. Wudhu hanya sah apabila air dapat mengenai anggota wudhu termasuk bulu mata tanpa terhalang. Jika Lash Tint yang digunakan sekadar memberi warna dan sifatnya menyerap pada bulu mata, sama seperti inai yang hanya meninggalkan kesan warna tanpa membentuk lapisan kalis air, maka ia tidak menjejaskan wudhu dan penggunaannya adalah dibenarkan. Sebaliknya, jika lash tint itu mengandungi bahan yang membentuk lapisan keras atau kalis air seperti cat kuku, maka ia akan menghalang air daripada sampai ke bulu mata. Dalam keadaan itu, wudhu tidak sah dan penggunaan lash tint menjadi bermasalah dari segi hukum.

Penggunaan Lash Tint adalah diharuskan selagi pewarna tersebut tidak menjadi penghalang kepada sampainya air wudhu’ pada bulu mata. Keharusan ini juga bergantung kepada niat serta ia mestilah dilakukan secara sederhana, tidak termasuk dalam perhiasan jahiliah (tabarruj), dan tidak membawa kepada fitnah pada pandangan umum.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 47

message user image