Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz/Ustazah, saya soalan mengenai pemakanan di negara bukan islam.
Kita tahu dia hotel-hotel akan ada sarapan diberikan termasuk pakej hotel. Bolehkah kita makan di sarapan hotel tersebut yang sememangnya ada makanan tidak halal? Kita hanya ambil makanan yang kita yakin tidak bercampur dengan produk haram atau plant-based food/vegetarian food, seperti roti, telur atau salad kosong tanpa dressing? Bolehkah kita gunakan pinggan di hotel tersebut?
Dan selain hotel mungkin ada kedai runcit yang menjual makanan dalam pack yang dicop halal untuk negara tersebut. Jadi, bolehkah kita masih makan sarapan di hotel tersebut (hanya ambil yang selamat dimakan sahaja), atau sepatutnya utamakan makanan halal lain seperti di kedai runcit yang ada pack makanan halal?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, asas yang perlu difahami ialah Islam telah menetapkan bahawa asal hukum bagi setiap benda yang diciptakan Allah SWT adalah harus sehinggalah terdapat dalil yang jelas menunjukkan keharamannya. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang masyhur:
Maksudnya: Asal bagi sesuatu perkara itu adalah harus sehinggalah terdapat dalil yang menunjukkan kepada pengharamannya.
Berdasarkan prinsip ini, hukum mengambil makanan di hotel di negara bukan Islam adalah harus, sekiranya makanan tersebut diyakini tidak bercampur dengan bahan yang haram atau syubhah, seperti daging khinzir, arak atau lemak haiwan yang tidak halal. Maka, makanan berasaskan tumbuhan (plant-based food), sayuran, roti, buah-buahan, telur rebus dan sebagainya yang jelas sumbernya adalah harus dimakan, selagi tiada bukti ia tercemar dengan bahan haram.
Begitu juga halnya dengan penggunaan pinggan, gelas atau sudu di hotel tersebut — hukumnya adalah harus sekiranya tiada kesan zahir najis atau penggunaan langsung dengan bahan haram. Kaedah fiqh menyebut:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.
Oleh itu, selama mana tidak terdapat bukti atau tanda yang jelas bahawa peralatan tersebut terkena najis, maka hukum asalnya adalah suci dan boleh digunakan.
Namun demikian, sekiranya terdapat pilihan lain yang lebih diyakini halal, seperti makanan dalam bungkusan yang mempunyai logo halal yang diiktiraf oleh pihak berautoriti negara tersebut, maka adalah lebih utama (afdhal) untuk memilih makanan tersebut. Ini selaras dengan kaedah:
Maksudnya: Menolak perkara syubhah adalah lebih utama daripada terjatuh dalam perkara syubhah.
Sikap berhati-hati (wara‘) dalam perkara makanan amat digalakkan oleh syarak, sebagaimana hadis yang diriwayatskan daripada an-Nu'man Bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat perkara yang samar-samar (syubhah). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kesimpulannya, harus mengambil makanan di hotel negara bukan Islam sekiranya diyakini tiada unsur haram dalam makanan tersebut. begitu juga harus menggunakan peralatan hotel jika tidak terdapat bukti najis atau pencemaran haram.
Namun begitu, mengutamakan makanan yang disahkan halal oleh pihak berautoriti atau dibeli dari kedai runcit yang memiliki tanda halal adalah lebih baik dan selamat daripada syubhah.
Sekian, terima kasih.