BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum ustaz/ ustazah.. soalan saya... apakah menjadi satu kesalahan saya seandainya saya meminta cerai dari suami. Namun suami tidak mahu menceraikan saya atas alasan sayang. Untuk pengetahuan ustaz/ustazah, suami saya sudah 2 tahun tidak bekerja. Segala urusan rumah tangga termasuk anak-anak saya yang tanggung. Pada suatu hari, suami saya telah meminta wang daripada saya. Oleh kerana saya tidak memberikan dia sejumlah wang diminta, dia telah memalukan saya di pejabat dengan berlagak seperti seorang samseng. Saya terus meminta agar dia melepaskan saya dan anak-anak. Namun dia tidak mahu. Saya nekad untuk mengubah cara hidup saya. Untuk pengetahuan ustaz/ustazah, masa kini, saya sedang berkawan dengan seorang lelaki yang terlalu baik. Namun hubungan kami hanya hubungan kerja sahaja tidak lebih dari itu. Kami jarang berhubung namun kami sering memerhati antara satu sama lain. Dia pernah memberitahu yang dia akan membantu saya untuk melepaskan diri dari suami saya. Perasaan sayang saya dengan suami sudah tiada. Saya cuma ada perasaan simpati sahaja sekarang. Tolong bantu saya ustaz/ustazah. Apa yang perlu saya lakukan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, ada beberapa perkara yang puan boleh lakukan antaranya : Tenangkan diri. Isteri yang meminta cerai dari suaminya tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak adalah berdosa, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Sauban, bahawa Rasulullah SAW bersabda: أيما امرأة سألت زوجها طلاقاً من غير بأس فحرام عليها رائحة الجنة Maksudnya : “Mana-mana wanita yang menuntut cerai kepada suaminya tanpa alasan yang dibenarkan, maka diharamkan ke atasnya bau syurga” (Riwayat at-Tirmizi) Oleh kerana suami masih sayangkan puan, dan puan pula masih ada perasaan simpati terhadapnya, alangkah baiknya jika perkahwinan ini diselamatkan. Nasihatkan suami atau bantulah suami mencari pekerjaan demi menyara anak-anak. Suami memerlukan sokongan puan sebagai isterinya ketika dia diuji tiada pekerjaan. Banyakkan bersabar, dan berdoa di atas dugaan yang menimpa, semoga Allah SWT merahmati rumahtangga puan. Jaga pergaulan dan elakkan dari berhubung atau membuka ruang kepada lelaki lain tentang masalah dan aib suami walaupun lelaki itu kelihatan baik dan mengambil berat, sedang puan masih bersuami, berdosa hukumnya dan boleh mengundang kepada keruntuhan rumahtangga disebabkan orang ketiga. Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bukan dikalangan kami (umat Nabi Muhammad SAW) orang yang merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya” (Riwayat Abu Daud) Adapun, permasalahan antara suami dan isteri hendaklah dibincang dengan sebaik-baiknya, supaya tiada salah faham di antara satu sama lain. Puan boleh juga hubungi Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran untuk dapatkan khidmat nasihat kekeluargaan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 78

message user image