Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum kepada pihak berkenaan. Saya mempunyai masalah week chin/ receeding chin, di mana saya tiada dagu atau dagu saya sangat ke belakang. Disebabkan hal ini, tisu bawah dagu berkumpul dan menampakkan seolah saya ada double chin walaupun saya sangat kurus, saya underweight. Hal ini sangat stresskan saya sebab kalau pakai tudung, apa jenis style tudung, memang akan nampak ketara saya tiada dagu lagi2 dari side profile. Setiap kali selepas ambil gambar, dan tengok gambar saya, saya rasa sangat insecure, stress, dan terfikir2 keadaan muka saya yang sangat tidak sempurna, seperti orang lain di mana dagu mereka membesar dengan normal. Ada satu masa, benda ni affect konfiden saya lagi2 bila ada orang duduk sebelah saya dan tengok muka dari sebelah sebab risau orang boleh nampak saya tiada dagu. Saya rasa risau dan tertekan kalau orang tegur dagu saya. Disebabkan dagu kecil ni lah, tisu berkumpul, buat double chin dan ini lah kenapa saya berdengkur juga kerana saluran udara di bahagian mulut ke leher tu kecil, disebabkan tisu di bawah dagu tidak dapat "dipanjangkan" kerana dagu yang kebelakang. Kadang2 malu juga bila orang tahu saya berdengkur kuat, lagi2 perempuan. Memang saya elak tidur sebilik atau bermalam ni rumah kawan kerana malu kalau orang lain tahu. Benda ini sentiasa bermain difikiran saya selama 25 tahun saya hidup. Saya sudah berfikir pelbagai cara seperti senaman mulut, guasha dan sebagianya tapi tidak akan berhasil sebab punca utama adalah tulang dagu yang tidak akan lagi membesar. Sekiranya saya ingin mendapatkan rawatan seperti filler, chin implant adakah hukumnya haram?
Jawapan
Berkenaan dengan kaedah rawatan bagi masalah week chin, terdapat dua alternatif rawatan iaitu chin filler dan chin implant. Chin filler adalah rawatan suntikan tanpa melibatkan pembedahan. Akan tetapi rawatan ini tidak berkekalan dan perlu diulang semula rawatan setelah beberapa bulan. Manakala chin implant pula adalah rawatan pembedahan meletakkan implan. Kebiasaannya berbahan silikon bagi membentuk dagu.
Berhubung dengan permasalahan yang dikemukakan, setakat ini belum terdapat sebarang keputusan rasmi fatwa yang khusus mengenai rawatan dagu. Namun demikian, syarak telah menetapkan panduan umum berkaitan hukum melakukan rawatan atau pembedahan pada anggota badan.
Sekiranya rawatan atau pembedahan tersebut dilakukan bagi tujuan membaiki kecacatan sama ada akibat kemalangan, penyakit, atau kelainan semula jadi, maka hukumnya dibenarkan. Sebaliknya, jika rawatan itu dilakukan semata-mata bagi tujuan kecantikan dan mengubah ciptaan asal tanpa keperluan, maka hukumnya diharamkan.
Selain itu, perlu juga diperhatikan kaedah rawatan serta bahan yang digunakan. Jika rawatan tersebut boleh mendatangkan mudarat kepada tubuh badan, maka ia adalah diharamkan. Namun, jika rawatan tersebut tidak memudaratkan dan menggunakan bahan yang suci serta dibenarkan oleh syarak, maka hukumnya adalah harus.
Bagi menjawab soalan puan, sekiranya tidak menjalankan rawatan dagu akan mendatangkan mudarat yang lebih banyak dan dalam masa yang sama rawatan yang hendak dilakukan tidak memudaratkan, maka diharuskan untuk melakukan rawatan dagu tersebut. Sekiranya keadaan dagu sekarang tidak memberikan mudarat dan kesan buruk pada kesihatan, maka diharamkan untuk melakukan pembedahan atau rawatan.
Sekian, terima kasih.