Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya dan isteri telah 6 tahun berkahwin tetapi tidak dikurniakan zuriat. Pada tahun ke 7 kami berusaha membuat rawatan IVF. Alhamdulillah terhasil 7 embrio dan disimpan di pusat IVF. percubaan hamil pertama menggunakan embrio gagal. percubaan ke dua berjaya. setelah anak sulung umur 3 tahun, kami cuba lagi untuk kehamilan kali ke tiga. Juga berjaya. Sekarang saya sudah mempunyai 2 cahaya mata. Disebabkan faktor umur yang sudah meningkat (kedua-dua suami dan isteri sudah 40 tahun, dari pembacaan mengatakan kehamilan 40 tahun keatas agak berisiko), kami fikir cukup lah 2 sahaja zuriat kami yang ada ni untuk kami fokus berikan kasih sayang. Juga faktor ekonomi juga diambil kira untuk tidak meneruskan kehamilan seterusnya. Tetapi saya masih ada baki 4 embrio di pusat IVF yang yuran tahunan untuk penyimpanan nya juga amat mahal. Apakah hukumnya jika saya tidak mahu meneruskan lagi kehamilan (embrio dilupuskan)? adakah ia dibenarkan atau haram hukum nya? mohon penjelasan. terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, ingin dijelaskan bahawa sesuatu kehamilan sama ada berisiko atau tidak hendaklah mendapat kepastian dan pengesahan terlebih dahulu daripada doktor pakar kerana seseorang Muslim tidak boleh membuat andaian terhadap perkara yang tidak diketahui. Adapun sekiranya telah disahkan bahawa terdapat risiko yang boleh memudaratkan nyawa ibu, maka diharuskan untuk tidak meneruskan kehamilan.
Adapun baki embrio yang masih disimpan di pusat rawatan IVF, maka ia diharuskan untuk dilupuskan kerana belum melalui proses penyenyawaan yang sempurna. Langkah ini adalah bagi memelihara kemaslahatan serta menghindarkan kemungkinan berlaku penyalahgunaan oleh mana-mana pihak yang tidak beramanah.
Sekian, terima kasih.