BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

saya berkerja sbgai seorng chef , bos saya seorang islam . Tetapi bos saya x amal kan islam. 

Bos saya juga ada simpan perempuan lain selain isteri2 nya dan makan juga babi . 

 

jadi soalan saya adakah gaji saya tu halal atau tak jika saya bekerja dgn boss saya , Dan jika saya tak tahu yang apa yg diberi saya itu Babi adakah berdosaa? dan jika tersentuh apa yg perlu saya buat. Dan macam mana pulak dgn dosa terhadap saya tahu yg boss saya simpan perempuan . Dan saya tak blh bgi tahu sapa2 pasal hal ini . Patutkah saya teruskan Bekerja dan macam mana pulak Gaji saya adakah halal atau tidak? 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته   

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Berhubung soalan yang diajukan, pekerjaan sebagai seorang chef yang tidak terlibat secara langsung dengan perkara yang haram seperti riba atau menyediakan makanan dari sesuatu yang haram atau seumpamanya adalah harus dan dibenarkan dalam Islam. Ini bertepatan dengan umum firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 172: 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُلُوا۟ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا رَزَقْنَـٰكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Berkenaan dengan bos puan yang terlibat dengan perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam, ia tidak memberi kesan kepada sumber pendapatan yang puan peroleh selagi mana syarikat di mana puan berkhidmat beroperasi secara patuh syariah. Jika terdapat keadaan di mana puan mungkin diberikan daging yang tidak diketahui adakah itu daging babi atau tidak dan tidak berpeluang untuk mengenal pastinya, maka dalam situasi ini puan dimaafkan. 

Manakala semata-mata pengetahuan puan terhadap perbuatan bos puan adalah tidak berdosa selagi mana puan tidak reda dengan perbuatan yang dilakukannya. Mencegah kemungkaran boleh dilakukan melalui tiga keadaan mengikut kemampuan seseorang berdasarkan kepada hadis dalam Sahih Muslim yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudriy RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

‌مَنْ ‌رَأَى ‌مِنْكُمْ ‌مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Bahkan puan hanya dituntut untuk mendedahkannya apabila perlu sahaja kepada yang berkaitan, contohnya jika terdapat kes yang dibawa ke mahakamah berkaitan perkara tersebut. Adapun pada asalnya, puan tidak dituntut untuk mendedahkannya kepada orang lain kerana dikhuatiri hanya akan membawa kepada keadaan yang lebih buruk. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 41

message user image