BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Saya bekerja di sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan sistem giliran seperti tiket nombor panggilan sebagai pereka IT. Apakah hukum bagi saya sekiranya mendapat tugasan untuk mereka bentuk sistem giliran bagi sebuah kasino?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan, bekerja sebagai pereka IT untuk membuat perkhidmatan sistem giliran seperti nombor panggilan adalah harus. Namun, jika membuat perkhidmatan secara langsung melibatkan perkara haram seperti perjudian (kasino) atau arak adalah tidak dibenarkan kerana membantu akiviti tersebut dilaksanakan. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 2: 

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Puan boleh memohon kepada majikan untuk tidak dilibatkan di dalam kerja yang ada kaitan dengan syarikat yang memberi perkhidmatan yang diharamkan. Akan tetapi, jika puan tidak dibenarkan untuk membuat pilihan, adalah sebaiknya puan berusaha untuk mencari pekerjaan lain yang dijamin sumber dan perkhidmatannya tidak melibatkan perkara haram. Yakinlah dengan janji dan perintah Allah SWT tentang jalan keluar yang disediakan bagi orang yang benar-benar mencari keredhaan Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Talaq ayat 2 - 3: 

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Maksudnya: dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 43

message user image