Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asalamualaikum, saya nak bertanya satu soalan. Saya ada sertai satu kerja online yang melibatkan pembayaran jika saya berjaya bagi review 5 star. Selepas itu ada trading session dimana jika saya buat pembayaran contoh berjumlah rm100 ke akaun syarikat tersebut dan selepas itu saya terima rm130 (ada interest 30%) selepas membuat transaksi tadi. Dan saya nak tahu hukumnya dalam islam mengenai proses perdagangan ini, sah atau tidak disisi syarak?untuk pengetahuan, ia melibatkan perdagangan mata wang cip.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, terdapat beberapa situasi yang perlu dijelaskan iaitu, bekerja sebagai pemberi review 5 star yang dibayar kerana review palsu atau tidak jujur adalah diharamkan kerana terdapat unsur penipuan dan gharar (ketidakjelasan) kepada pelanggan.
Manakala trading session dengan bayaran RM100 dan pulangan tetap RM130 adalah dilarang kerana secara umumnya mana-mana pelaburan yang menjamin keuntungan secara tetap adalah haram kerana ia mengandungi unsur riba dan gharar, ini kerana terdapat tambahan ke atas modal wang yang diberi tanpa mempunyai risiko kerugian yang dikongsi. Ia dihukumkan sebagai faedah ke atas duit dan bukannya keuntungan perniagaan.
Selain itu, perdagangan yang melibatkan mata wang cip (virtual coin) yang tidak diiktiraf dan tiada nilai sebenar juga mengandungi unsur gharar dan maysir (perjudian), kerana ketidaktentuan nilai serta risiko yang tidak jelas.
Kesimpulannya, keseluruhan aktiviti yang disebutkan adalah tidak sah dan haram di sisi syarak kerana mengandungi unsur yang dilarang, iaitu riba, gharar dan maysir.
Sekian. Terima kasih.