BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Untuk penerangan, datuk saya telah membeli satu unit rumah teres dan membenarkan bapa saya tinggal dirumah tersebut. Dan bapa saya membayar kepada datuk saya setiap bulan jumlah loan seperti yang perlu dibayar kepada pihak bank. 

Selepas hampir setahun, datuk saya meninggal dunia dan hakmilk rumah tersebut telah bertukar kepada nama nenek saya. Kerana adanya insuran, loan tersebut telahpn langsai.Tetapi atas kebenaran nenek kami sekeluarga masih tinggal di rumah tersebut hampir 20tahun

Sehinggalah minggu lepas bapa sy telah meninggl dunia. Dan saya dihubungi oleh adik bapa saya menyatakan hasrat nenek untuk ingin kembali tinggal dirumah tersebut bersama anaknya (adik-adik bapa)

Soalan

1. Apakah adik dan ibu saya perlu keluar dari rumah tersebut walaupun ibu saya sedang dalam iddah?

2. Bolehkah ibu saya buat tuntutan atas ubahsuai rumah yang dibuat oleh ibu dan arwah bapa sepanjang tinggal dirumah tersebut?

3. Apakah yang sepatutnya saya lakukan? 

Sekian, terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, secara asasnya rumah tersebut masih kekal milik datuk, dan kini berpindah hak milik kepada nenek, melainkan terdapat bukti bahawa arwah bapa turut dinamakan pada geran. Maka dari segi hukum, kedudukan keluarga puan di situ adalah seumpama penyewa atau menumpang dengan izin pemilik.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 29:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضٍۢ مِّنكُمْۚ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan dengan suka sama suka di antara kamu.

Ayat ini menjadi asas bahawa tidak boleh seseorang mengambil manfaat daripada harta milik orang lain tanpa izin atau hak. Maka, kedudukan keluarga puan dalam rumah itu bergantung kepada izin dan reda pemilik (iaitu nenek).

Namun demikian, ibu puan berhak untuk terus menetap sementara dalam tempoh ‘iddahnya selama empat bulan sepuluh hari jika rumah tersebut menjadi tempat kediamannya ketika arwah ayah meninggal dunia. Ini berdasarkan hak tempat tinggal semasa menjalani 'iddah (maskan al-‘iddah) sebagaimana sabda Nabi SAW kepada sahabat Fura‘i‘ah binti Malik RA:

امْكُثِي فِي بَيْتِكِ الَّذِي تُوُفِّيَ فِيهِ زَوْجُكِ حَتَّى يَبْلُغَ الكِتَابُ أَجَلَهُ

Maksudnya: Tinggallah engkau di rumahmu (tempat suamimu meninggal) sehingga habis tempoh iddahmu. (Riwayat Abu Daud)

Oleh itu, ibu puan sewajarnya dibiarkan untuk menetap di situ sepanjang tempoh 'iddahnya.

Dari sudut pembinaan atau ubah suai rumah, jika ia dibuat dengan izin pemilik, maka boleh dibincang secara tuntutan kos (ta‘widh) secara ihsan dan budi bicara bukan tuntutan hak milik. Ini kerana hak milik asal masih kekal pada nama nenek.

Akhirnya, perkara terbaik ialah mengadakan perbincangan harmoni dengan nenek dan waris mungkin dihadiri orang tengah seperti ketua kampung, tok imam atau mana-mana individu yang disegani oleh masyarakat setempat supaya keputusan dibuat dengan reda dan tidak menjejaskan silaturrahim.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 37

message user image