BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t Tuan,

Saya baru sebulan bekerja sebagai Logistic Executive di sebuah syarikat engineering. Syarikat ini beroperasi sebagai yang melibatkan urusan  perniagaan antara supplier dan customer di mana syarikat menjadi pihak ketiga menawarkan perkhidmatan untuk memenuhi kehendak customer iaitu seperti memesan part-part elektronik seperti pressure gauge kepada syarikat kami dan syarikat kami mendapatkan mana2 supplier untuk memesan part elektronik yang dari pelanggan tu. Jadi, sepanjang saya bekerja selama sebulan ini, saya mendapati terdapat urusan jual beli dengan pelbagai customer dan salah satu customer itu adalah daripada syarikat arak di mana ia melibatkan pembelian alatan elektronik untuk kilang pembuatan arak untuk syarikat arak itu. 

Jadi, perkara ini telah menimbulkan persoalan dan was-was dengan pekerjaan saya di mana saya bekerja di syarikat yang ada penglibatan urusan jual beli dengan syarikat arak yang menjadi salah satu pelanggan untuk syarikat kami.

Jadi tuan, apakah hukumnya jika kita berurusan dengan pelanggan dari syarikat arak di mana ia bukan melibatkan urusan jual beli arak itu sendiri tetapi untuk urusan jual beli pressure gauge kepada syarikat arak itu. Adakah itu telah menjadi penglibatan kita secara langsung dalam industri pembuatan arak yang sememangnya termasuk di dalam 10 golongan yang terlibat dalam pembuatan arak itu sendiri?

Saya benar2 buntu dengan pekerjaan saya di syarikat itu sekarang ni sebab ia melibatkan pendapatan saya sendiri ada keberkatan jika bekerja dengan syarikat yang terlibat dengan urusan perniagaan dengan syarikat arak itu? Saya benar2 buntu sekarang ni patutkah saya bekerja di syarikat itu atau perlu berhenti dan cari peluang pekerjaan yang lebih baik dari lagi yang asalkan halal dan berkat? Diharapkan tuan dapat membantu untuk menjawab kebuntuan saya hadapi sekarang ni

Sekian Terima Kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 90:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menyebut satu riwayat daripada Abdurrahim bin Ghanm RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وإن الخمر حرام وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ، وَإِنَّ الْخَمْرَ حَرَامٌ وَثَمَنُهَا حَرَامٌ

Maksudnya: Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram. (Riwayat Ahmad)

Berkaitan arak sememangnya Islam menggariskan panduan yang sangat ketat sehinggakan Allah SWT melaknat 10 golongan yang terlibat dengan perniagaan arak. Dalam hal ini ada 2 pandangan iaitu yang ketat pastinya adalah haram kerana berkaitan dengan pembuatan arak bersandarkan dalil dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Manakala pandangan yang ringan:

  1. Menganggap tidak berdosa selagi barang itu halal pada asalnya (seperti alat elektronik) dan tidak digunakan secara langsung dalam pemprosesan arak.
  2. Menjual alatan industri tidak semestinya menjadikan penjual bersubahat, kerana ia boleh digunakan dalam pelbagai industri.

Kesimpulannya, perlu dilihat kadar penglibatan dan bentuk hubungan perniagaan dengan syarikat arak tersebut. Sekiranya peratusannya kecil, pekerjaan itu masih boleh diteruskan dengan syarat pekerja berusaha berbincang dengan majikan agar tidak terlibat secara langsung, serta menyerahkan urusan logistik berkaitan kepada kakitangan bukan Islam. Usaha mencari keberkatan dalam pekerjaan adalah tuntutan penting dalam Islam.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 37

message user image