Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Jika anak membeli kereta menggunakan nama ayah, tetapi kos membeli, pembayaran bulanan, penyelenggaraan, insurans, cukai jalan ditanggung sepenuhnya oleh anak. Jika kematian ayah, adakah kereta termasuk untuk difaraidkan, bagaimana anak ingin mendapatkan hak sepenuhnya keatas kereta dimana si ayah memang mengakui kereta adalah milik sebenar si anak
Jawapan
Kebiasaannya, isu seperti ini berlaku dalam kalangan masyarakat Islam apabila urusan berkaitan harta keluarga kurang diberikan perhatian. Keadaan ini boleh menimbulkan bibit-bibit ketidakharmonian dalam keluarga.
Perkara ini boleh diselesaikan dengan baik melalui perbincangan sesama ahli keluarga, dengan mengambil kira bukti pembayaran serta penyerahan kenderaan tersebut semasa ayah masih hidup. Pendekatan ini dapat mengelakkan salah faham dan tanggapan bahawa harta tersebut adalah milik ayah sepenuhnya.
Namun, sekiranya selepas kematian ayah masih tiada kata sepakat dicapai, puan boleh merujuk perkara ini kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) di bawah peruntukan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 untuk penyelesaian secara sah di sisi undang-undang.
Semoga urusan ini dapat diselesaikan dengan baik dan membawa keharmonian dalam keluarga.
Sekian, terima kasih