BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Asslmkm wbt. Ibu isteri saya telah memberi hibah sekeping tanah sewaktu isteri saya masih hidup tanpa syarat.  Tanah tersebut telah pun ditukar nama kepada nama isteri saya. Selepas isteri saya meninggal dunia, ibu mertua saya telah meminta semula tanah tersebut. Soalanya:

#1. Adakah tanah tersebut telah menjadi harta pusaka yg wajib difaraidkan kepada pewaris?

#2. Apakah hukum  ibu mertua saya meminta hak tanah itu semula selepas isteri saya meninggal dunia?

#3. Apakah hukum jika pewaris tidak bersetuju utk dipulangkan jika harta tersebut telah menjadi harta pusaka?

Wassallam


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, tanah tersebut merupakan harta pusaka arwah isteri yang perlu dibahagikan secara faraid kepada waris-waris yang layak selepas isteri meninggal dunia.

Adapun ibu mertua tuan meminta semula hak tanah itu selepas isteri tuan meninggal dunia, hukumnya adalah haram. Hal ini kerana, akad hibah merupakan akad tabarru' yang mana apabila hibah telah sempurna rukun-rukun dan juga syarat-syaratnya, serta telah sempurna penerimaan barangan hibah tersebut, maka jelaslah ianya merupakan hak milik si penerima. Sebagaimana hadis dalam Sahih al-Bukhari yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:

لَيْسَ لَنَا مَثَلُ السَّوْءِ، الَّذِي يَعُودُ فِي هِبَتِهِ كَالكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ

Maksudnya: Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu orang yang meminta semula anugerah (hibah) mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.

Oleh yang demikian, tidak dibenarkan ke atas seseorang pemberi hibah itu tadi meminta semula hibah yang telah diberikan kepada orang lain melainkan penghibah iaitu ayah, meminta semula harta yang telah dihibahkan kepada penerima hibah iaitu anaknya.

Walau apa pun, harta tersebut merupakan hak milik bagi setiap waris-waris arwah isteri tuan. Oleh yang demikian, ianya terserah kepada waris-waris arwah isteri sekiranya ahli waris tidak mempersetujui untuk memulangkan semula kepada ibu mertua tersebut, hukumnya adalah tidak berdosa dan boleh menolak secara baik atas permintaan tersebut. Namun, sekiranya ahli waris bersetuju untuk dipulangkan kembali kepada ibu kepada arwah isteri, maka ianya dianggap hadiah. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 29

message user image