BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Subjek: Permohonan Penjelasan Berkenaan Agihan Pampasan Kematian Insurans Hayat Pekerja

Kepada pihak yang berkenaan,

Assalamualaikum,

Kami ingin memohon penjelasan berkenaan tatacara agihan pampasan insurans hayat bagi seorang pekerja kami yang telah meninggal dunia akibat kemalangan.

Syarikat kami telah menyediakan pelan insurans hayat berkumpulan (Group Term Life Insurance) bagi manfaat pekerja, dan pampasan kematian kini dalam pemprosesan. Namun, kami menghadapi beberapa kekeliruan dalam menentukan penerima yang sah kerana:

  • Allahyarham tidak meletakkan sebarang penama (nominee) dalam polisi insurans tersebut.
  • Allahyarham telah bercerai sebelum kematian.
  • Allahyarham meninggalkan ibu bapa serta tiga orang anak di bawah jagaan bekas isteri (yang mempunyai perintah hak jagaan sah daripada Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bahru).

Soalan kami adalah seperti berikut:

  1. Adakah pampasan insurans hayat yang dibeli oleh majikan kepada pekerja dianggap sebagai harta pusaka, dan perlu diagihkan mengikut hukum Faraid?
  2. Atau, memandangkan pampasan ini adalah manfaat daripada polisi yang dimiliki oleh syarikat (majikan), adakah syarikat dibenarkan untuk mengagihkan pampasan tersebut secara terus kepada ibu yang mempunyai hak jagaan yang sah?

Kami ingin memastikan agihan dibuat mengikut landasan undang-undang dan hukum Syarak yang sah agar tiada sebarang tuntutan atau pertikaian pada masa akan datang.

Segala panduan dan penjelasan daripada pihak tuan/puan amat kami hargai.

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, berdasarkan kepada Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (FATWA) Negeri Selangor pada 16 Januari 2001 memutuskan berkaitan Kedudukan Wang Pampasan Kematian Pekerja Yang Dianugerahkan Oleh Kerajaan Dan Syarikat Swasta bahawa "Wang pampasan kematian pekerja ini tidaklah dianggap sebagai harta pampasan. Oleh itu pembahagiannya tidak tertakluk kepada cara pembahagian harta pusaka". Pampasan seumpama ini dilihat sebagai suatu bentuk pemberian atau hibah daripada pihak syarikat kepada waris pekerja yang meninggal dunia, dan bukan harta yang ditinggalkan oleh si mati semasa hayatnya.

Sekiranya si mati tidak menamakan sesiapa sebagai penama, pihak syarikat mempunyai hak untuk menguruskan pemberian wang pampasan tersebut mengikut tatacara yang difikirkan sesuai dan kepada pihak yang layak menerimanya. 

Sekiranya waris enggan menerima manfaat tersebut dan mencadangkan agar diberikan kepada pihak lain, maka pihak syarikat bolehlah meneliti serta mempertimbangkan cadangan berkenaan dengan penuh hemah, sebelum membuat keputusan untuk menyalurkan bayaran tersebut kepada pihak yang dicadangkan, selagi tidak bercanggah dengan peraturan serta prinsip undang-undang dan hukum Syarak.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 42

message user image