BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin tahu apakah hukum mendedahkan aurat bagi tujuan pembelajaran bidang perubatan?

Saya (perempuan dewasa) mempunyai scalp lesion ataupun ketumbuhan di bahagian belakang kepala. Oleh kerana kes ini jarang dijumpai di bahagian kepala, seorang pensyarah doktor perempuan ingin menjadikannya case report untuk dipublish journal perubatan dan dikongsi bersama pelajar atau doktor lain. Jadi gambar ketumbuhan di belakang kepala itu perlu ditangkap tanpa saya memakai tudung (tetapi muka saya tidak ditunjukkan) bagi dimasukkan dalam case study tersebut.

Apakah hukumnya? Adakah terdapat kelonggaran atau berdosa?

Terima kasih!


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Dalam mazhab al-Syafi'i, aurat wanita adalah seluruh aggotanya melainkan telapak tangan dan muka. Kepala atau rambut adalah antara bahagian yang wajib ditutupi bagi wanita. 

Bagi menjawab persoalan yang diajukan, haram bagi seseorang wanita mendedahkan auratnya kepada ajnabi tanpa ada mudarat atau tanpa ada keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Mendedahkan aurat dibenarkan apabila diperlukan untuk tujuan rawatan atau tujuan pendidikan perubatan, dengan syarat-syarat tertentu, antaranya:

  1. Tujuannya sah dan diiktiraf syarak — dalam kes ini, tujuan akademik dan perubatan untuk manfaat ilmu serta rawatan pesakit lain.

  2. Tiada unsur fitnah atau pendedahan berlebihan — hanya bahagian yang perlu sahaja didedahkan dan tanpa menunjukkan muka atau bahagian lain yang tidak perlu.

  3. Dilakukan oleh atau di hadapan pihak yang amanah dan diperlukan sahaja, sebaik-baiknya doktor/pensyarah wanita.

  4. Identiti pesakit dilindungi — tidak menunjukkan wajah, nama, atau ciri yang boleh dikenali.

  5. Mendapat keizinan pesakit secara jelas dan bertulis (informed consent).

Maka hukumnya harus (dibolehkan) atas dasar keperluan pendidikan perubatan dengan syarat gambar tersebut digunakan secara beretika, disimpan dengan selamat, dan tidak disebarkan di luar konteks ilmiah.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 26

message user image