Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assamualaikum, saya ingt bertanya tentang tanah Allahyarham. Pakcik ada 2 anak perempuan, tetapi sebelum dia meninggal dia ada berpesan kepada saya, kata kebun buah dia tu nak bagi kepada cucu lelaki dia yang pertama. Dan saya menyampaikan pesanan itu kepada cucu lelaki dia. Tetapi dia kata tidak mahu. Perkara ini berlalu sebelum Allahyarham pakcik saya meninggal.ketika cucu dia berusia dalam (19-20 tahun)
Sebelum pakcik saya meninggal tanah-tanah dia yang lain dia dah pesan kepada anak anak dia. Kepada anak pertama rumah dan tanah bendang 1, anak kedua 2 tanah bendang. Cuma tanah yang kebun buah itu,saya tak pasti anak pertama dia tahu atau tidak bab pemberian tanah kepada cucu pakcik saya.
Selepas pakcik saya meninggal saya menyampaikan apa yang dia katakan kepada anak-anak dia. Tetapi anak pertama mengatakan dia yang punya. Saya hanya menyampaikan apa yang dikatakan oleh Allahyarham apa yang dia katakan.
Setelah itu, isteri kepada Allahyarham pakcik saya bercerita, dahulu lebih dri 25 tahun yang lepas suami dia , bagi anak pertama dia buat rumah di tanah itu, ketika dia masih berkahwin tetapi dia tidak buat rumah pun sampai dia bercerai lebih dari 20 tahun yang lepas.
Tanah itu asalnya dari mak Allahyarham dan diberikan kepada arwah.
Mak Allahyarham menikah 2 kali.
Allahyarham ada 2 orang abang. abang pertama dari bapa yang sama dan ibu yang lain. Abang kedua seibu dan sebapa dengan arwah. Dan 4 orang kakak masih hidup.
Kedua abang Allahyarham sudah meninggal. Tetapi mempunyai anak lelaki yang masih hidup. Manakala abang yang pertama mempunyai 2 orang anak lelaki.
Isteri Allahyarham masih hidup, anak perempuan pertama Allahyarham bercerai mempunyai seorang anak perempuan. Anak yang kedua mempunyai 4 orang anak. Seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan daripada perkahwinan pertama. Dan seorang anak lelaki dari perkahwinan kedua.
Beberapa orang saudara mara cakap arwah ada memberitahu mereka bahawa kebun itu dia nak bagi dekat cucunya itu.
Siapakah yang berhak ke atas tanah itu sebenarnya. Dan bagaimana perlu dibuat?
Bolehkah tanah itu dibahagikan kepada 2 bahagian antara anak pertama dan kedua jika persetujaan dari isteri Allahyarham? Dan bagaiman perlu dibuat?
Apakah hak cucu itu keatas tanah itu, kerana arwah sudah niat dari awal nak berikan kepada dia?
Dan ada hak kah keatas dia, jika dia tidak mahu tanah itu ketika Allahyarham masih hidup tetapi selepas pakcik saya sudah meninggal dia menuntut tanah itu?
Jawapan
Merujuk kepada situasi yang dikemukakan:
Soalan 1: Siapakah yang berhak ke atas tanah itu sebenarnya. Dan bagaimana perlu dibuat?
Jawapan 1: Waris kematian arwah pakcik yang layak ke atas tanah tersebut. Penentuan waris atas kematian seseorang amatlah penting bagi mengelakkan termakan harta yang batil.
Berdasarkan fakta yang dinyatakan oleh puan, sekiranya saudara seibu sebapa lelaki (adik-beradik lelaki arwah pakcik) meninggal terlebih dahulu daripada arwah pakcik, maka waris yang layak ke atas tanah tersebut adalah isteri, 2 anak perempuan, dan 4 saudara seibu sebapa perempuan (adik-beradik perempuan arwah pakcik).
Namun, sekiranya saudara seibu sebapa lelaki (adik-beradik lelaki seibu sebapa arwah pakcik) meninggal selepas arwah pakcik meninggal, maka waris yang layak mewarisi harta pusaka arwah pakcik adalah isteri, 2 anak perempuan, waris-waris kepada 1 saudara seibu sebapa lelaki serta 4 saudara seibu sebapa perempuan.
Soalan 2: Bolehkah tanah itu dibahagikan kepada 2 bahagian antara anak pertama dan kedua jika persetujaan dari isteri Allahyarham? Dan bagaimana perlu dibuat?
Jawapan 2: Tanah tersebut boleh dibahagikan kepada anak perempuan pertama dan kedua arwah pakcik sekiranya mendapat persetujuan kesemua waris atas kematian arwah pakcik dengan kaedah pembahagian secara takharuj iaitu waris menolak bahagian faraid masing-masing ke atas harta pusaka tersebut.
Soalan 3: Apakah hak cucu itu ke atas tanah itu, kerana arwah sudah niat dari awal nak berikan kepada dia?
Soalan 4: Dan ada hak kah ke atas dia, jika dia tidak mahu tanah itu ketika Allahyarham masih hidup tetapi selepas pakcik saya sudah meninggal dia menuntut tanah itu?
Jawapan 3 & 4: Dalam situasi ini, perlu dinyatakan dan ditentukan dengan jelas sama ada arwah pakcik itu meninggalkan pesanan (hasrat) mahupun wasiat. Sekiranya pesanan itu dinyatakan ingin diberikan kepada cucunya, maka ianya sekadar keinginan arwah pakcik dan bukanlah wasiat. Maka, pembahagian tanah tersebut adalah milik waris-waris arwah pakcik.
Adapun sekiranya cucu tadi itu menuntut tanah tersebut, maka perlulah menepati elemen-elemen pemberian dan penerimaan (hibah) ketika waktu arwah pakcik masih hidup iaitu penghibah, penerima hibah, harta yang dihibahkan serta ijab dan qabul. Berdasarkan situasi yang dikemukakan oleh pihak puan, pemberian tanah tersebut tidak sempurna elemen ketika pemberian itu berlaku, iaitu tiada ijab dan qabul dalam pemberian tersebut yang menyatakan cucu itu menerima tanah tersebut ketika arwah pakcik masih hidup.
Sekian, terima kasih.