Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz,
Saya ingin bertanya berkenaan penggunaan bahan pergigian yang berasaskan dari haiwan yang haram (khinzir) atau tidak disembelih (lembu). Pada masa ini, untuk sesetengah rawatan seperti pembedahan bagi menyelamatkan gigi yang terkesan dengan penyakit gusi, penggunaan bahan-bahan ini yang telah dikomersialkan dan telah terbukti keberkesanannya melalui penyelidikan berkualiti tinggi. Saya, selaku pengamal pergigian dan pakar penyakit gusi ini ingin bertanya:
1) untuk rawatan di klinik, kebiasaannya saya akan memberi pilihan kepada pesakit sama ada ingin menggunakan bahan ini atau tidak. Pada masa ini, tiada lagi bahan yang setara dengan bahan yang diperbuat dari khinzir ini [contoh: enamel matrix derivatives (Emdogain) yang diproses menggunakan protein dari gigi bayi khinzir]. Adakah saya boleh memberi pilihan tersebut kepada pesakit Islam, atau wajib atas saya untuk menumpukan kepada bahan alternatif lain yang halal, yang masih tidak mencapai tahap keberkesanan yang sama?
2) saya berniat untuk membuat penyelidikan untuk mencari bahan alternatif halal yang setara dengan bahan tersebut. Namun, untuk membuktikan keberkesanan bahan baru tersebut, penyelidikan berkualiti tinggi [penyelidikan klinikal terkawal secara rawak/randomised-controlled clinical trial (RCT)] adalah disarankan, di mana peserta/pesakit akan menerima sama ada bahan standard (contoh: Emdogain), bahan baru, atau bahan palsu (plasebo). Penyelidik (saya) dan peserta/pesakit tidak sepatutnya mengetahui bahan mana yang mereka terima kerana proses blinding/masking yang perlu dipraktikkan semasa RCT ini. Hanya doktor yang akan membantu meletakkan bahan ini di dalam mulut/gusi pesakit akan tahu bahan mana, itupun bahan tersebut hanya akan dikeluarkan daripada bekas tertutup dan ditunjukkan kepada beliau setelah pembedahan dimulakan dan sebaik sahaja sebelum bahan tersebut diletakkan di sekeliling gigi tersebut. Adakah saya wajib mengecualikan pesakit Islam daripada menyertai penyelidikan ini, walaupun mereka dan saya sendiri tidak akan tahu bahan mana yang akan mereka terima?
Mohon pencerahan.
Jawapan
Penggunaan unsur haram najis khususnya najis mughallazah seperti khinzir di dalam perubatan adalah dilarang di dalam Islam.
Diriwayatkan daripada Abu Darda’ RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat dan menyediakan bagi setiap penyakit itu ubat. Maka berubatlah, dan janganlah kamu berubat dengan benda yang diharamkan. (Riwayat Abu Daud)
Walau bagaimanapun, penggunaan unsur haram atau najis benarkan di dalam keadaan darurat seperti ketika ketiadaan ubat yang lain yang halal. Ini berdasarkan kepada kaedah fiqah:
Maksudnya: Keadaan darurat mengharuskan perkara yang dilarang.
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Tidak diharuskan menggunakan ubat mengandungi unsur haram seandainya terdapat ubat alternatif lain yang halal. Namun penggunaan kelonggaran diberikan untuk menggunakan ubat mengandungi unsur haram sekiranya ubat alternatif itu:
- terlalu mahal di luar kemampuan pesakit.
- ubat alternatif halal yang digunakan tidak memberi kesan yang sepatutnya setelah digunakan.
- kesan kesembuhan ubat alernatif halal terlalu sedikit atau terlalu lambat.
2. Tidak diharuskan memberi ubat mengandungi unsur haram kepada pesakit muslim sebagai penyelidikan.
Sekian, terima kasih.