Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya bekerja sebagai seorang Web Developer di sebuah learning institution. Salah satu kerja saya perlu lakukan adalah memuat naik turun kerja2/portfolio pelajar ke website institusi syarikat saya bekerja untuk tujuan showcasing sahaja apa yang pelajar telah lakukan/buat. Salah satu portfolio pelajar tersebut adalah video tentang minuman alkohol. Secare spesifiknya "cara2 untuk memastikan alkohol fresh dirumah". Visualnya pun ada menunjukkan "glass beer". Persoalannya, apakah hukum jika saya memuat naik portfolio video pelajar tersebut? Walaupun dari pihak saya, ia hanya untuk tujuan showcasing apa pelajar telah lakukan di institusi syarikat kami?
Jawapan
Hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA katanya:
Maksudnya: Rasulallah SAW telah melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak, orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah untuknya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawakan arak kepadanya, orang yang memberi minum arak kepada orang lain ,orang yang menjual arak, orang yang mendapat hasil daripada arak, orang yang membeli arak, orang yang meminta dibelikan arak untuknya. ( Riwayat al-Tirmizi)
Dalam Islam, terdapat panduan dan larangan yang jelas berkaitan dengan perkara-perkara yang mengandungi elemen haram, termasuk alkohol. Prinsip asasnya adalah tuntutan untuk kita menjauhi perkara haram dan tidak terlibat dalam sebarang urusan yang berkaitan dengannya, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Dalam keadaan ini, pendekatan memahami maqasid syariah adalah perlu selain ianya menepati kaedah fiqh sadd al-zari’ah (menutup pintu kemudaratan) begitu juga memahami fiqh ma’alat al-af’aal (fiqh implikasi). Ini kerana, kesan daripada pengharaman arak adalah memelihara maslahah umat Islam.
Islam sangat tegas dalam perkara yang mengandungi elemen haram, termasuk alkohol. Prinsip asasnya adalah tuntutan untuk menjauhi perkara yang haram dan tidak terlibat dalam sebarang urusan yang berkaitan dengannya, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Menjawab soalan yang diajukan, dinasihatkan untuk berbincang secara baik dengan pihak majikan untuk tidak memuat naik video tersebut kerana boleh dilihat mempromosikan atau menggalakkan aktiviti meminum arak yang boleh menjejaskan kehidupan individu mahupun masyarakat. Seandainya pihak pentadbiran bertegas dalam perkara tersebut, maka lakukan dengan tanpa kerelaan atau meminta pegawai lain bukan Islam untuk melakukannya jika ada.
Sekian, terima kasih.