BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: 1. Adakah benar murtad dihukum secara mutlak atau ni Khilaf dalam kalangan ulama'? minta penjelasan 2. Dalam islam, kenapa hamba wanita boleh disetubuhi tuan lelaki, tetapi tidak sebaliknya? Minta penjelasan 3. Dalam hadis Sahih Muslim no. 2771, ia sebut tentang Nabi ﷺ suruh Ali utk pukul leher seorang lelaki kerana berzina dengan hamba wanita milik Nabi. Namun, didapati lelaki tersebut tiada organ kemaluan lelaki. Bukankah ni dikira qazaf sebab Nabi menuduh org berzina tanpa bukti? Minta penjelasan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan; 1. Murtad ialah seseorang Islam secara pilihan telah memutuskan untuk keluar sama ada dengan ucapan, perbuatan atau iktikad atau meragui apa yang telah dimaklumi dalam agama secara mesti. Untuk menentukan sesorang itu murtad adalah bukan tugas yang mudah tetapi dapat diketahui seseorang itu murtad melalui sebab-sebab dan punca-punca murtad. Dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor, permohonan perisytiharaan bukan lagi seorang Islam hanya diputuskan oleh Hakim di Mahkamah. Walaupun begitu, para ulama amat cermat dalam menghukum keluarnya seseorang daripada Islam antaranya dinyatakan pendapat tokoh Islam: Abdullah bin Muhammad al-Qarani menyebut satu kaedah berbunyi : “Tiadalah setiap yang melakukan sesuatu daripada syirik atau kufur yang nyata boleh dikafirkannya dengan sebab ucapannya atau perbuatannya tetapi mestilah memenuhi segala syarat untuk mengkufurkannya dan ternafi sebarang halangan pada haknya”. (Dawabit al-Takfir Inda Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah) 2. Islam membenarkan seorang tuan beristimta' dengan hamba perempuan yang dimilikinya berdalilkan firman Allah SWT yang bermaksud; "Dan (di antara sifat orang-orang mukmin ialah) mereka yang menjaga kemaluan mereka (dari syahwat yang haram, iaitu zina dan sebagainya), kecuali kepada isteri mereka atau hamba (perempuan) yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela (apabila melepaskan syahwat itu kepada isteri atau hamba yang dimiliki)” (al-Mukminun : 5-6) Berdasarkan ayat ini, jimak yang dihalalkan syariat adalah melalui dua ikatan; i. Ikatan perkahwinan ii. Ikatan milki yamin (pemilikan hamba). Kedua-dua jimak tersebut jika menghasilkan anak, maka anak itu dinasabkan kepada suami atau tuan dengan nasab yang sah dan boleh mewarisi. Milki yamin (pemilikan hamba) tidak memerlukan lagi akad perkahwinan kerana dengan milki yamin tersebut seorang wanita hamba itu menjadi milik tuannya secara sepenuhnya. Dan jika hamba wanita tersebut melahirkan anak, maka dia secara automatik menjadi bebas dan disebut ummul walad. 3. Hadith yang dimaksudkan adalah seperti berikut : عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَجُلاً كَانَ يُتَّهَمُ بِأُمِّ وَلَدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لِعَلِيٍّ ‏: اذْهَبْ فَاضْرِبْ عُنُقَهُ ‏.‏ فَأَتَاهُ عَلِيٌّ فَإِذَا هُوَ فِي رَكِيٍّ يَتَبَرَّدُ فِيهَا فَقَالَ لَهُ عَلِيٌّ اخْرُجْ ‏.‏ فَنَاوَلَهُ يَدَهُ فَأَخْرَجَهُ فَإِذَا هُوَ مَجْبُوبٌ لَيْسَ لَهُ ذَكَرٌ فَكَفَّ عَلِيٌّ عَنْهُ ثُمَّ أَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ لَمَجْبُوبٌ مَا لَهُ ذَكَرٌ Maksudnya : “Daripada Anas, bahawa ada seseorang yang menuduh Ummu Walad Rasulullah SAW (budak perempuan yang telah melahirkan anak tuannya). Maka Rasulullah SAW memerintahkan kepada Ali : “Pergilah penggal leher orang itu”. Ali mencari orang tersebut. Ali menemui orang itu sedang berada di kolah berendam untuk menyejukkan badan. Ali berkata kepadanya : “Keluarlah”. Ali memegang tangan orang itu dan mengeluarknnya dari kolah. Ternyata orang itu tidak mempunyai zakar. Ali menahan diri, tidak jadi memenggalnya. Kemudian Ali datang kepada Rasulullah SAW memberitahu : “Ya Rasulullah! Orang itu tidak mempunyai zakar”. (Riwayat Muslim) Ringkasnya, hadis ini berkenaan orang yang hendak menyakiti hati Nabi SAW dan merosak kehormatannya, dengan membuat tuduhan terhadap Ummu Walad tersebut. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi Allah.” (al-Ahzab : 53) Orang yang membuat kisah dusta dan tuduhan tersebut hendaklah bertaubat. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2019
Jumlah Pelawat : 445

message user image