BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum Tuan/Puan,

Saya ingin mengajukan pertanyaan yang serius mengenai tuntutan bayaran kerja lebih masa (OT).

Persoalan 1:

Saya mula bekerja di Syarikat A pada bulan Jun 2024. Saya layak menuntut bayaran kerja lebih masa (OT), dan saya mula melakukan kerja lebih masa bermula Julai 2024 hingga Oktober 2024.

Saya tidak pernah berniat untuk menipu atau menuntut OT secara berlebihan. Ada hari-hari tertentu saya benar-benar bekerja lebih masa disebabkan beban kerja yang banyak. manakala pada hari-hari lain, saya pulang lewat kerana sengaja mengambil masa yang lama untuk menyiapkan kerja. Contohnya, saya sepatutnya tamat kerja pada jam 5 petang, tetapi saya memilih untuk buat OT dan menyiapkan kerja sehingga jam 7 malam. Dalam tempoh OT itu, saya ada berhenti seketika untuk solat atau berehat sebentar (seperti merokok) selama 5–10 minit atau bersembang. Selain itu, saya juga pernah datang bekerja pada hari Ahad untuk menyiapkan kerja dan dalam masa yang sama untuk mendapatkan pendapatan tambahan melalui OT. Semua kerja lebih masa ini dipersetujui oleh pengurus saya, dan setiap tuntutan OT saya juga telah diluluskan oleh pengurus jabatan dan pengurus kilang.

Namun begitu, saya kini berasa sedikit gelisah mengenai status duit OT yang saya terima – adakah ianya halal atau haram? Jika ada bahagian daripada tuntutan OT tersebut yang tidak layak saya tuntut, bagaimana cara saya boleh “membayar balik” atau menebusnya, memandangkan saya tidak pasti jumlah sebenar yang mungkin tidak sepatutnya saya tuntut? Saya juga ingin maklumkan bahawa selepas Oktober 2024, saya masih ada melakukan kerja lebih masa tetapi tidak menuntut sebarang bayaran OT. Bolehkah ini dianggap sebagai bentuk bayaran balik atau pampasan terhadap mana-mana tuntutan OT terdahulu yang mungkin berlebihan?

 

Persoalan 2:

Jika pada october 2024 jumlah wang dalam akaun bank saya adalah RM15,000. Jumlah keseluruhan bayaran OT yang saya terima dari Julai hingga Oktober 2024 adalah sekitar RM10,000. Maka, jumlah keseluruhan simpanan yang saya miliki adalah RM25,000. Jika wang OT tersebut dianggap sebagai sumber yang tidak halal, adakah saya dikira telah menggunakan wang haram untuk makan, berbelanja atau menanggung perbelanjaan harian saya?

Bolehkah saya menganggap bahawa saya hanya menggunakan RM15,000 daripada sumber yang halal (iaitu gaji biasa tanpa OT), manakala baki RM10,000 yang diragui masih belum digunakan?

 

Persoalan 3:

Saya baru sahaja mendirikan rumah tangga pada Mei 2025. Perkara ini sangat penting bagi saya kerana sebahagian besar perbelanjaan perkahwinan saya dibiayai menggunakan wang simpanan saya sendiri. Adakah saya dikira telah menggunakan wang yang haram (jika OT itu haram) untuk tujuan perkahwinan, walaupun baki simpanan saya sekarang masih ada RM10,000?

Bolehkah saya menganggap bahawa baki RM10,000 tersebut adalah wang daripada OT yang meragukan, dan wang yang telah digunakan sebelum ini adalah daripada sumber yang halal?


Persoalan 4

Saya bekerja di Selangor dan telah menghadiri kursus rasmi anjuran syarikat yang berlangsung dari 25 Ogos hingga 29 Ogos 2025 di Pulau Pinang. Mengikut syarat tuntutan yang ditetapkan, saya difahamkan bahawa saya hanya dibenarkan untuk membuat tuntutan perjalanan bagi tempoh 25 Ogos hingga 29 Ogos sahaja. Namun begitu, saya terpaksa bergerak lebih awal, iaitu pada 24 Ogos 2025 (Ahad), dari Selangor ke Seberang Jaya bagi memastikan saya tiba tepat pada masanya dan bersedia untuk hari pertama kursus pada keesokan harinya.

Sehubungan dengan itu, saya ingin memohon kepastian sama ada saya dibenarkan untuk menuntut kos perjalanan pada 24 Ogos 2025, memandangkan saya telah menggunakan kenderaan sendiri dan menanggung kos perjalanan seperti petrol, tol dan parkir. Jumlah kos perjalanan pergi dan balik dari Selangor ke Pulau Pinang sahaja telah melebihi RM100. Ini belum termasuk kos harian untuk perjalanan dari tempat penginapan saya (yang saya uruskan sendiri kerana tiada penginapan disediakan oleh pihak syarikat) ke lokasi kursus sepanjang tempoh 25 hingga 29 Ogos 2025.

Berdasarkan perbincangan saya bersama pihak HR sebelum ini, saya dimaklumkan bahawa had tuntutan harian adalah sebanyak RM150. Justeru, saya ingin memohon penjelasan sama ada tuntutan perjalanan bagi tarikh 24 Ogos 2025 boleh diterima, memandangkan tujuan saya hanyalah untuk menampung kos sebenar yang telah dibelanjakan, dan bukan untuk mendapatkan keuntungan.

Tolong Bantu Saya


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Persoalan 1

Secara umumnya setiap harta yang diperoleh mestilah melalui jalan yang halal. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 29:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

Kerja lebih masa (OT) adalah satu bentuk kontrak kerja yang diiktiraf syarak, kerana ia dipersetujui antara pekerja dan majikan. Maka, selama mana pekerja benar-benar hadir dan menunaikan kerja dalam tempoh OT, tuntutan bayaran itu adalah halal.

Oleh itu dalam isu yang dibangkitkan, terdapat dua keadaan:

  1. OT kerana beban kerja sebenar – bayaran ini halal sepenuhnya kerana ia dilaksanakan dengan keredaan majikan.

  2. OT kerana sengaja melambatkan kerja – jika benar kerja itu boleh diselesaikan dalam waktu pejabat biasa tetapi sengaja dilengahkan, maka ia boleh dianggap tidak amanah. Namun, memandangkan saudara telah mendapat keizinan dan kelulusan pengurus untuk bekerja lebih masa, maka bayaran tersebut tetap sah dari sudut undang-undang pekerjaan, dan tidak termasuk kategori “harta haram” secara mutlak. Cuma, ia boleh mengurangkan keberkatan rezeki kerana unsur tidak telus.

Berkenaan waktu rehat sebentar seperti solat, makan atau berbual, perkara ini dimaafkan selama mana ia tidak melampaui kebiasaan manusia normal. Bahkan, majikan biasanya sudah maklum bahawa OT tidak bermakna 100% masa digunakan tanpa henti. Maka, ia tidak menjejaskan kehalalan OT.

Manakala mengenai rasa ragu sama ada terdapat sebahagian tuntutan OT yang tidak sepatutnya dibuat, syarak menekankan konsep ihtiyat (berhati-hati) dalam rezeki. Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ

Maksudnya: Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu. (Riwayat al-Tirmizi)

Berhubung persoalan “membayar balik”, terdapat beberapa pilihan:

  1. Jika mampu mengenal pasti jumlah yang meragukan, boleh dipulangkan kepada syarikat sebagai lebihan bayaran.

  2. Jika tidak pasti jumlahnya, maka cara yang baik ialah bekerja secara lebih ikhlas tanpa menuntut bayaran OT seperti yang saudara telah lakukan selepas Oktober 2024. Ini boleh dianggap sebagai bentuk “pampasan” dan usaha mengembalikan hak majikan.

  3. Selain itu, saudara boleh juga bersedekah dengan sebahagian daripada pendapatan OT tersebut, dengan niat sekiranya ada bahagian yang syubhah, ia digantikan dengan pahala kebajikan.

Persoalan 2 dan 3

Berhubung percampuran wang gaji halal (RM15,000) dengan OT yang diragui (RM10,000), ulama menyebut ia termasuk dalam kategori harta bercampur (المال المختلط). Secara asasnya dalam menguruskan harta yang bercampur ini adalah seperti berikut:

  • Jika jumlah halal lebih besar, maka boleh dianggap perbelanjaan yang dibuat adalah daripada bahagian halal.

  • Jika jumlah yang tidak halal lebih besar, maka wajib lebih berhati-hati.

Dalam situasi saudara, jumlah gaji halal (RM15,000) melebihi OT yang diragui (RM10,000). Maka, saudara boleh menganggap bahawa perbelanjaan harian dan juga kos perkahwinan datang daripada bahagian gaji halal. Baki RM10,000 yang masih ada boleh dianggap sebagai bahagian OT yang meragukan.  

Persoalan 4:

Tuntutan perjalanan (claim) termasuk dalam kategori urusan kontrak antara pekerja dan majikan. Ia hanya halal jika dibuat berdasarkan kos sebenar yang benar-benar dibelanjakan, selaras dengan syarat yang telah ditetapkan oleh majikan. Jika seseorang menuntut lebih daripada haknya atau di luar peraturan yang ditetapkan tanpa izin, maka itu termasuk dalam memakan harta secara batil.

Dalam situasi yang disebutkan, peraturan syarikat menyatakan bahawa tuntutan hanya dibenarkan bermula 25 Ogos hingga 29 Ogos 2025. Namun saudara telah bergerak awal pada 24 Ogos kerana keperluan munasabah bagi memastikan kehadiran tepat pada masanya. Dari sudut syarak:

  • Jika majikan membenarkan, maka tuntutan kos perjalanan pada 24 Ogos adalah halal kerana ia termasuk dalam keizinan dan ridha pemberi hak.

  • Jika majikan tidak membenarkan, maka tuntutan pada 24 Ogos tidak boleh dibuat walaupun kos itu benar-benar wujud, kerana melanggar syarat kontrak. Dalam keadaan ini, kos tersebut dianggap sebagai perbelanjaan peribadi yang tidak boleh dituntut.

Oleh itu, kesimpulannya, tuntutan kos perjalanan pada 24 Ogos 2025 hanya dianggap halal jika mendapat keizinan majikan kerana ia di luar tempoh rasmi kursus. Jika majikan tidak membenarkan, maka tuntutan itu tidak boleh dibuat, walaupun saudara memang telah berbelanja lebih awal. Dalam keadaan tersebut, kos perjalanan pada 24 Ogos adalah tanggungan peribadi.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.                                                                     


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 31

message user image