Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt,
Sya ingin mendapatkan pandangan dan penjelasan daripada pihak tuan mengenai hukum seorang Muslim bekerja di sebuah syarikat antarabangsa yang terlibat dalam industri cryptocurrency.
Syarikat ini merupakan sebuah leading crypto market-making and trading firm yang beroperasi sejak tahun 2017. Aktiviti utama mereka termasuk menyokong projek token, bursa (exchanges), dan institusi dengan penyelesaian market-making, kepakaran DeFi, struktur perbendaharaan, serta pelaburan modal teroka. Syarikat ini juga mencatatkan lebih daripada $50 bilion jumlah dagangan tahunan melibatkan lebih 1,000 aset digital di 65+ bursa global.
Individu Muslim yang dimaksudkan berkhidmat dalam jabatan Human Resources (HR), dan tidak terlibat secara langsung dalam aktiviti perdagangan atau pelaburan crypto syarikat.
Soalan saya:
Apakah hukum bagi seorang Muslim bekerja di jabatan HR di syarikat crypto sebegini?
Adakah pekerjaan dalam bahagian sokongan (seperti HR, pentadbiran, IT, atau pemasaran) dikira terlibat secara langsung dengan aktiviti syarikat dari sudut hukum syarak?
Apakah garis panduan yang wajar dipertimbangkan sebelum menerima atau mengekalkan pekerjaan dalam bidang ini?
Saya amat menghargai bimbingan serta fatwa daripada pihak Jabatan Mufti bagi membantu membuat keputusan yang selari dengan tuntutan syariat Islam.
Sekian, terima kasih atas perhatian dan nasihat yang diberikan.
Wassalam.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan,
Pada dasarnya, hukum asal bekerja di sesebuah syarikat adalah harus, selagi pekerjaan tersebut tidak melibatkan perbuatan yang diharamkan secara langsung seperti mencuri, menipu, memakan riba, dan sebagainya. Namun, jika pekerjaan itu berada dalam satu ekosistem yang bercanggah dengan syariat, ia perlu diteliti dari pelbagai sudut.
Dalam konteks ini, dua aspek utama yang mestI diperhalusi iaitu:
Hukum asal bekerja dalam syarikat yang terlibat dalam cryptocurrency.
Hukum bekerja dibahagian yang tidak ada kaitan secara langsung dengan aktiviti utama syarikat.
Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-4/2021 pada 8 Muharram 1443H bersamaan 17 Ogos 2021 telah memutuskan bahawa:
Harus untuk menjalankan urus niaga menggunakan mata wang digital sama ada sebagai perantara pembayaran (medium of payment), pemindahan wang (remittance) dan aset simpanan sekiranya memenuhi parameter-parameter di bawah:
a) Urus niaga melibatkan mata wang digital hendaklah dilakukan melalui platform pertukaran mata wang digital berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti sahaja;
b) Pengguna hendaklah mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai:
i. Jenis, ciri-ciri utama dan risiko berkaitan mata wang digital;
ii. Perkara-perkara teknikal yang mencukupi mengenai bagaimana untuk memperoleh mata wang digital dan di mana ia perlu disimpan untuk memastikan keselamatannya;
iii. Peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh platform pertukaran mata wang digital berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti; dan
iv. Undang-undang dan peraturan yang berkaitan mata wang digital.
c) Sebagaimana mata wang yang lain, mata wang digital hendaklah tidak digunakan sebagai bayaran kepada barangan, perkhidmatan dan aktiviti tidak patuh Syariah seperti pembelian dadah, pelacuran, perjudian dan pendanaan aktiviti keganasan serta penggubahan wang haram.
Ini bermakna berdasarkan keputusan di atas, cryptocurrency tidak dihukum haram secara mutlak, bahkan harus digunakan jika menepati garis panduan di atas.
Dalam hal ini, seorang pekerja muslim disyarikat crypto yang beroperasi menepati dengan garis panduan berlesen dan patuh syarak, maka hukum bekerja adalah harus. Namun, jika syarikat crypto tersebut terlibat dengan transaksi yang bertentangan dengan fatwa atau bercanggah dengan syarak seperti spekulasi melampau, perjudian maya atau tidak berlesen, maka hukum bekerja dengan syarikat tersebut boleh jatuh kepada makruh atau haram kerana termasuk dalam membantu aktiviti yang meragukan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Oleh itu, sebagai seorang Muslim yang mengutamakan aspek halal dan ṭayyib dalam mencari rezeki, adalah wajar untuk menyemak pematuhan syarikat dari sudut syarak dan undang-undang. Hal ini termasuk memastikan syarikat beroperasi melalui platform pertukaran yang berlesen serta dikawal selia oleh pihak berautoriti. Pada masa yang sama, niat bekerja mestilah jelas untuk mencari rezeki yang halal lagi diberkati oleh Allah SWT.
Sekian, terima kasih.