BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, Tuan.

 

Sy dalam dilema sama ada ingin bekerja di syarikat telekomunikasi di mana salah satu pemegang sahamnya adalah syarikat Magnum (Syarikat judi) dengan pegangan saham 8%.

Secara kasar, syarikat telekomunikasi ini, tiada kaitan perniagaan yg haram kerana hanya tertumpu pada telekomunikasi sahaja. Tetapi disebabkan salah satu pemegang saham syarikat ini yang menyalurkan kewangan tetapi dari sumber yg haram iaitu judi.

Adakah sy dikira bekerja di tempat yang haram & adakah pendapatan saya juga haram? Ucapan terima kasih untuk jawapan yang akan diberikan nanti.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 90:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Namun dalam konteks soalan yang dikemukakan, ada beberapa pertimbangan yang perlu diteliti, iaitu:

  1. Jika syarikat tersebut tidak menjalankan sebarang aktiviti yang haram.
  2. Jika tugas atau peranan dalam syarikat itu tidak melibatkan perkara yang haram.
  3. Jika sumber pendapatan utama syarikat telekomunikasi itu bukan daripada aktiviti yang haram.

Sekiranya ketiga-tiga pertimbangan ini dapat dipastikan, maka pendapatan hasil pekerjaan di syarikat tersebut adalah halal dan harus bekerja di sana, walaupun terdapat pemegang saham yang memperoleh pendapatan daripada sumber tidak halal.

Tambahan pula, pemilikan saham sebanyak 8% oleh syarikat judi tidak menjadikan mereka pemegang saham majoriti serta tidak memberi kuasa untuk menentukan dasar atau operasi harian syarikat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 25

message user image